Thursday, May 23, 2013

‘Silap orang saya jawab’



Kuala Terengganu: “Apa boleh buat, akibat kesilapan orang lain, saya terpaksa jawab dan memang menjadi tanggungjawab kerajaan negeri menyelesaikan sebarang masalah dengan baik walaupun ia dibina bukan dalam tempoh pemerintahan saya,” kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengulas kejadian runtuhan bumbung Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu, malam Isnin lalu.

Menurutnya, beliau sudah memanggil Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan mengarahkan pihak berkenaan menjalankan siasatan sama ada ia berpunca akibat kegagalan reka bentuk atau bahan digunakan tidak mengikut piawaian ditetapkan.


Beliau berkata, kontraktor yang membekalkan dan memasang kekuda masjid itu dari Puchong, Selangor, manakala atap dibekalkan sebuah syarikat dari Yong Peng, Johor.

“Mengikut syarat, kontraktor terbabit memberi jaminan 10 tahun terhadap pemasangan kekuda berkenaan, namun kajian terperinci perlu dilakukan JKR bagi mengetahui punca sebenar.


“Saya turut mengarahkan JKR membuat siasatan di tiga lagi masjid yang dipercayai menggunakan reka bentuk dan bahan sama digunakan di Masjid Binjai Kertas yang runtuh itu.


“Sebelum ini (3 Oktober 2009), Masjid Batu Putih, Kerteh, Kemaman turut mengalami masalah sama apabila bumbungnya runtuh,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Ahmad berkata, beliau turut mempertikaikan cara pengawasan dilakukan JKR terhadap kerja pembinaan bangunan kerajaan di negeri ini.


Menurutnya, tempoh dua minggu diberikan kepada JKR mengemukakan kertas siasatan berhubung tiga lagi masjid yang menggunakan reka bentuk sama dengan Masjid Kampung Binjai Kertas.

Katanya, sudah berulang kali beliau meminta JKR memantau kerja pembinaan bangunan berkaitan kerajaan, namun kecewa apabila masih terjadi runtuhan seperti yang berlaku di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak ketika kerja menurunkan struktur bumbungnya.


Akhbar semalam melaporkan, bumbung bahagian anjung Masjid Binjai Kampung Kertas, Hulu Terengganu runtuh hingga mengejutkan seorang imam bersama enam jemaah yang baru selesai menunaikan solat sunat selepas Isyak di masjid berkenaan.

No comments:

Post a Comment