Wednesday, August 21, 2013

Isa sah tanding Naib Presiden

Isa sah tanding Naib Presiden:
Isa Samad
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO Oktober ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, sebagai orang lama dalam parti banyak pengalaman yang boleh disumbangkan kepada UMNO dan berharap mendapat sokongan.
Menurutnya, jika terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden, beliau yakin dengan pengalaman serta kemampuannya itu mampu membantu memperkukuh parti pada masa hadapan.
"Apa yang saya miliki terutamanya dari segi pengalaman dan kebolehan dapat membantu mengurus parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan krim mandian Purich keluaran Delima Oil Products Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FVGH) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengurus Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad; Presiden FVGH, Mohd. Emir Mavani Abdullah dan Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) Delima Oil, Zakaria Arshad.
Pada pemilihan 2004, Mohd. Isa meraih undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden tetapi beliau kemudiannya digantung keahlian kerana melanggar etika pemilihan parti.
Selepas tiga tahun digantung, pada 23 Jun 2008 keahlian beliau dikembalikan dan seterusnya berjaya memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Mengenai persaingan sengit yang bakal dihadapinya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau tidak gentar kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri.
"Ia bukan satu masalah besar. Saya mempunyai pengalaman secukupnya (untuk bertanding) malah penuh warna-warni. Ada turun dan naik. Politik saya masih hidup," ujarnya.
Ditanya mengapa masih mahu bertanding dan bukan beri laluan kepada calon muda, Mohd. Isa berkata, pemimpin berpengalaman masih diperlukan untuk memantapkan parti.
Jelasnya, sebagai sebuah parti yang besar, UMNO memerlukan gabungan dan kerjasama mantap antara pemimpin berpengalaman dan golongan muda sebagai pelapis.
Sementara itu, Mohd. Isa menjelaskan beliau tidak meletak sasaran untuk memenangi jawatan Naib Presiden sebaliknya menyerahkan kepada 150,000 perwakilan membuat keputusan.
"Saya serah kepada perwakilan untuk buat pertimbangan. Kalau difikirkan saya sesuai, mereka pilih saya. Kalau tak sesuai, saya tiada masalah dengan itu," katanya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130821/po_01/Isa-sah-tanding-Naib-Presiden#ixzz2caAYtJF5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment