Monday, September 30, 2013

7 lagi pemberontak MNLF dibunuh


PASUKAN tentera melambai tangan kepada penduduk dari bumbung sebuah masjid selepas berjaya menawannya semula di bandar pelabuhan Zamboanga, Filipina semalam.


MANILA - Pasukan tentera dan polis khas Filipina semalam membunuh tujuh lagi pemberontak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dalam beberapa pertempuran di bandar pelabuhan Zamboanga yang menyaksikan krisis tebusan berlanjutan selama hampir tiga minggu.
Enam pemberontak dibunuh ketika bersembunyi di dalam sebuah rumah di kejiranan Santa Barbara dan enggan menyerah diri.
Seorang lagi dibunuh dalam satu pertempuran yang tercetus di Rio Hondo, satu daripada lima komuniti yang ditawan oleh hampir 500 orang anggota MNLF sejak 9 September lalu.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ra- mon Zagala memberitahu, pihaknya juga menemui tujuh laras senapang dan satu pelancar bom tangan.
Walaupun konflik di Zamboanga sudah berakhir, Zagala bagaimanapun menegaskan bahawa keadaan masih lagi berbahaya untuk penduduk pulang ke rumah masing-masing, sehinggalah pasukan tentera selesai menjalankan operasi pembersihan.
Kelmarin, pegawai Kementerian Pertahanan Filipina dan tentera mengumumkan bahawa konflik itu sudah berakhir. Ia juga menyatakan, 195 penduduk kampung yang dijadikan perisai manusia telah diselamatkan.
Dianggarkan seramai 4,000 anggota tentera dan polis berjaya membunuh 190 orang pemberontak manakala 292 yang lain ditangkap atau menyerah diri selepas mereka kepenatan, selain kehabisan makanan dan peluru.
Datuk Bandar Zamboanga, Isabelle Climaco-Salazar memberitahu, dewan bandar raya dibuka semula pada hari ini. Pihaknya juga sedang merancang untuk membina semula komuniti yang terjejas teruk selepas hampir 10,000 buah rumah dibakar oleh pemberontak atau musnah dalam pertempu- ran.
Pemberontakan paling berdarah itu berlaku berikutan MNLF menuduh Manila mungkir janji kerana mengadakan rundingan dengan kumpulan pemisah terbesar di Mindanao, Barisan Pembebasan Islam Moro. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2gJmbKRB2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment