Sunday, September 8, 2013

Dunia mesti elak perang

Dunia mesti elak perangSeorang belia menunjukkan poster Obama yang bermaksud ‘Menentang perang untuk penjajahan. Keamanan untuk Syria, ketika menyertai bantahan di Brasilia, Brazil, kelmarin. - Foto AP 

Vatican: Pope Francis mengutus surat kepada Presiden Vladimir Putin yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak G20 menggesa pemimpin dunia menentang campur tangan tentera di Syria.

Laporan dari sidang menyatakan, 11 negara G20 memberi sokongan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menyerang Syria kerana menggunakan senjata kimia terhadap rakyatnya.
Putin pula menegaskan Russia akan membantu Syria jika serangan dilancarkan terhadap negara itu.


“Kepada semua pemimpin yang hadir, saya merayu mereka mencari jalan mengatasi perbezaan pendapat dan mengetepikan usaha sia-sia menggunakan cara ketenteraan,” katanya.

Isnin lalu, beliau menyiarkan tweet berbunyi: “Jangan lagi berperang. Berapa ramai akan menderita, sejauh mana kemusnahan dan masalah jika senjata digunakan.”

Mahu keamanan

Pada Selasa, beliau sekali lagi menyiarkan tweet berbunyi: “Kita mahu keamanan untuk semua ketika masyarakat berpecah belah dan dilanda konflik. Saya kutuk sekeras-kerasnya penggunaan senjata kimia.”
Tweet terbaru beliau menyatakan: “Saya mendesak semua pihak yang terbabit dalam konflik tidak hanya memikirkan kepentingan sendiri. #prayforpeace.”

Perpecahan dan perbezaan pendirian itu dilihat dalam sidang G20 dengan 11 negara menandatangani perisytiharan mengenai Syria iaitu Amerika, Perancis, Arab Saudi, Korea Selatan, Itali, Sepanyol, Turki, Jepun, Britain, Kanada dan Itali.

Putin pula mengetuai blok menolak perisytiharan menyalahkan Syria dan menyokong serangan.

Menyertai Russia, negara lain ialah Argentina, Brazil, China, Kesatuan Eropah (EU), Jerman, India, Indonesia, Mexico dan Afrika Selatan.

Ketika berucap menamatkan sidang itu semalam, Putin berkata masyarakat antarabangsa menentang blok yang mahu campur tangan di Syria.

“Adakah kami membantu Syria? Kami akan membantu. Kami sudah membantu dengan menghantar senjata,” katanya.

Lancar tindakan ketenteraan

Obama kini akan meminta sokongan anggota Kongres untuk melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria dan undian akan dilakukan selepas ahli dewan kembali bersidang esok.

Beliau juga akan berucap kepada penduduk Amerika menerusi televisyen mengenai Syria pada hari Selasa.

Obama yang turut meminta sokongan EU tentu gembira selepas jurucakap dasar luar pertubuhan itu, Catherine Ashton, bersetuju bahawa maklumat yang ada menunjukkan kerajaan Syria yang melakukan serangan kimia ke atas rakyatnya, Ogos lalu.
AGENSI 

No comments:

Post a Comment