Friday, September 13, 2013

Zamboanga terus bergolak


PASUKAN tentera berlindung di belakang sebuah kereta perisai ketika mereka mara ke lokasi kumpulan pemisah Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di Zamboanga semalam.- AFP


ZAMBOANGA - Tentera Filipina semalam bertempur dengan anggota-anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) selepas sejumlah gerila Islam itu menyerang bandar kedua dekat bandar Zamboanga.
Kumpulan pemisah menyerang pinggir bandar Lamitan, Pulau Basilan yang didiami majoriti penganut Kristian, kata Timbalan Datuk Bandar, Roderick Furigay.
Menurutnya, lima orang hilang dan dua lagi mengalami kecederaan.
Gabenor wilayah tersebut, Mujiv Hataman menyatakan bahawa serangan berkenaan berjaya ditangkis.
Pulau Basilan terletak berhampiran bandar Zamboanga yang menyaksikan para pejuang MNLF menjadikan berpuluh-puluh penduduk di sini sebagai tebusan sejak Isnin lalu.
Kumpulan bersenjata yang merupakan pengikut pengasas MNLF, Nur Misuari bertindak demikian selepas tentera kerajaan menyekat percubaan mereka menaikkan bendera pemisah di sebuah bangunan kerajaan.
Krisis yang memasuki hari keempat itu telah melumpuhkan bandar pelabuhan yang didiami hampir sejuta penduduk.
Pergolakan tersebut menyebabkan kebanyakan perkhidmatan penerbangan dan feri di Zamboanga tergendala.
Hampir 15,000 penduduk berhampiran kawasan terjejas melarikan diri daripada terperangkap dalam pertempuran. Mereka mendapatkan perlindungan dekat sebuah stadium dan beberapa sekolah di sini.
Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas berkata, tentera telah diarahkan untuk menghalang kumpulan pemisah menyusup masuk atau mendapatkan bantuan daripada penduduk setempat.
Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan terkorban sejak pertempuran di Zamboanga bermula.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Filipina, Benigno Aquino III telah menghantar beberapa pegawai tertinggi Kabinet dan ketua tentera bagi mengawasi krisis di selatan negara itu.
Misuari tidak kelihatan di khalayak ramai atau mengeluarkan sebarang kenyataan sejak sejumlah pengikutnya menceroboh Zamboanga.
Terdahulu, Datuk Bandar Zamboanga, Maria Isabelle Climaco berkata, MNLF menuntut masyarakat antarabangsa menjadi orang tengah dalam krisis itu dan mereka enggan berbincang dengan pegawai tempatan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2eimSt6ih 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment