Thursday, October 3, 2013

Amerika Syarikat terus buntu


Sekumpulan pelancong hampa kerana tidak dapat mengunjungi monumen terkenal Statue of Liberty yang ditutup berikutan krisis bajet Amerika Syarikat di New York, kelmarin. - AFP
WASHINGTON 2 Okt. - Sebahagian daripada agensi utama kerajaan Amerika Syarikat (AS) masih lumpuh buat hari kedua hari ini, ekoran perbalahan berhubung rang undang-undang penjagaan kesihatan Presiden, Barack Obama yang masih belum selesai.
Ketika AS berdepan kegagalan fungsi kerajaan pertama dalam tempoh 17 tahun, White House yang dipimpin Parti Demokrat, dan parti pembangkang, Parti Republikan masih gagal mencari penyelesaian untuk membolehkan bajet persekutuan khas diluluskan ekoran rang undang-undang penjagaan kesihatan berkenaan.
Obama menuduh parti konservatif itu yang mendominasi Dewan Perwakilan melancarkan 'perang ideologi' dengan menjadikan bajet khas itu sebagai tebusan untuk membatalkan rang undang-undang penjagaan kesihatan.
"Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Saya mahu semua rakyat AS faham kenapa ia berlaku.
"Mereka (Parti Republikan) menyebabkan kerajaan lumpuh hanya kerana mahu menafikan penjagaan kesihatan berpatutan kepada berjuta-juta rakyat AS,'' katanya di White House.
Speaker Dewan Perwakilan dari Parti Republikan, John Boehner berkata, Obama cuba melaksanakan polisi 'kemusnahan' kerana enggan berunding, ketika jalan penyelesaian segera kepada kebuntuan berkenaan semakin kabur.
"Parti Demokrat menutup pintu kepada usaha menyelesaikan masalah ini apabila enggan terlibat dalam rundingan dua pihak,'' katanya menerusi ruangan pendapat dalam akhbar USA Today.
Kebuntuan politik itu berterusan ketika Pemimpin Majoriti dari Parti Demokrat yang mendominasi Dewan Senat, Harry Reid menolak cadangan Dewan Perwakilan untuk melantik dua wakil rasmi bagi mencapai penyelesaian berhubung isu tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131003/lu_03/Amerika-Syarikat-terus-buntu#ixzz2gblIoKuL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment