Thursday, October 3, 2013

Operasi kerajaan pusat AS masih ditutup



PEMANDANGAN kafeteria Senat di Capitol Hill, Washington yang ditutup kelmarin.- AFP


WASHINGTON - Kemelut politik yang melanda Kongres tidak menunjukkan tanda akan reda dengan operasi kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) terus lumpuh.
Setakat ini, pemimpin parti pemerintah, Parti Demokrat dan pembangkang, Parti Republikan membayangkan penutupan operasi kerajaan itu mungkin berlanjutan sehingga beberapa minggu.
Penutupan tersebut bermula kelmarin apabila Kongres gagal meluluskan bajet bagi membiayai perbelanjaan negara menjelang tarikh akhir berbuat demikian pada 30 September lalu.
Penutupan operasi kerajaan pusat itu menyebabkan taman negara, laman web kerajaan dan agensi kerajaan ditutup manakala 800,000 kakitangan awam terpaksa bercuti tanpa gaji.
Jumlah tersebut merupakan satu pertiga daripada keseluruhan kakitangan kerajaan persekutuan AS.
Impak penutupan operasi kerajaan itu tertumpu di ibu negara AS, di sini yang mana kerajaan persekutuan menjadi majikan utama.
Di bandar raya yang dihuni 600,000 orang ini, kawasan Capitol Hill dan The Mall yang menjadi destinasi utama pelancong telah ditutup.
Dalam pada itu, situasi tersebut menyebabkan Presiden Barack Obama membatalkan lawatannya ke beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Walaupun sebahagian besar operasi kerajaan lumpuh, perbelanjaan untuk fungsi penting seperti keselamatan negara dan awam masih diteruskan termasuk bayaran gaji anggota tentera.
Turut menerima gaji mereka termasuk anggota Senat dan Dewan Perwakilan di Kongres.
Mereka dibayar gaji ketika terus bercakaran berhubung isu bajet tersementara hampir sejuta kakitangan kerajaan pula terus terjejas.
"Penutupan ini menjejaskan daerah saya termasuk kakitangan awam yang berkerja keras tetapi terpaksa bercuti ekoran percakaran ini," kata wakil rakyat Virginia, Scott Rigell. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2gbftNx00 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment