Friday, October 4, 2013

Penutupan operasi AS bawa risiko

White HouseSINGAPURA - Penutupan operasi kerajaan dan kebuntuan politik mengenai defisit dan belanjawan Amerika Syarikat (AS), boleh menggugat pertumbuhan ekonomi negara itu dan membawa risiko kepada pertumbuhan rantau Asia Pasifik.

Ini juga berlaku ketika pemulihan dari krisis global masih goyah.

Dalam laporan tahunan "State of the Region" yang dikeluarkan Khamis oleh Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC), kegagalan mengadakan pakej langkah ekonomi dan belanjawan di AS, dianggap sebagai risiko kelima paling tinggi kepada pertumbuhan oleh 560 pemberi pendapat berpengaruh serantau.

Setiausaha Agung PECC, Eduardo Pedrosa, penyelaras Laporan itu berkata:"Walaupun kaji selidik itu dijalankan hampir dua bulan lalu, namun jika ia dijalankan sekarang, ketika berlakunya penutupan operasi kerajaan, tahap risiko ini mungkin lebih tinggi lagi.

"Ketika keadaan ekonomi turun naik di seluruh dunia sekarang, jika masalah politik domestik berterusan lebih lama, ia berpotensi membawa akibat yang lebih luas hingga ke luar AS, seperti yang dapat dilihat daripada hasil kaji selidik itu."

Kebimbangan tentang penutupan operasi kerajaan AS yang berpanjangan dan kemungkinan berlakunya kemungkiran pembayaran hutang, jika AS tidak menaikkan siling hutang berkanunnya, berkemungkinan berlegar dalam fikiran anggota perwakilan pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bali minggu depan.

Juga membimbangkan ialah kelembapan dalam ekonomi-ekonomi sedang muncul, khususnya China dan India.

Menurut laporan PECC itu, kelembapan ekonomi China merupakan risiko tertinggi terhadap pertumbuhan dalam Asia Pasifik.

Kajian itu mendapati lebih 60 peratus responden meramalkan bahawa China akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam 12 bulan akan datang, seperti yang ternyata daripada pelaksanaan reformasi dasar oleh kerajaan.

Mereka yang ditinjau pendapat berpandangan positif tentang AS dengan 60 peratus menjangkakan pertumbuhan ekonomi Amerika yang kukuh, iaitu meningkat daripada 30 peratus tahun lepas.

Keyakinan terhadap ekonomi Jepun adalah pada kadar 55.4 peratus, berbanding 19.9 peratus pada 2012.

Ekonomi sedang muncul dan ekonomi maju perlu melaksanakan reformasi struktur, di samping mempertingkatkan penyepaduan dan hubungan serantau untuk memacu pertumbuhan baharu, kata responden.

Untuk meraih manfaat daripada penyepaduan serantau, ekonomi membangun perlu menangani kekangan yang disebabkan oleh kurangnya pendidikan, prasarana yang tidak mencukupi dan ketiadaan perkhidmatan asas seperti air, sanitasi dan kuasa.

Responden amat menyokong usaha Apec mengenai pelonggaran perdagangan dan pelaburan, tetapi menegaskan perlunya ada institusi domestik yang lebih teguh untuk mencapai pertumbuhan yang terangkum.

Sokongan bagi prestasi Apec adalah sebanyak 17.1 peratus. Pada 2007, ia mencecah paras serendah 1.3 peratus.

Kaji selidik ini juga meminta responden memilih lima isu terpenting yang harus dibincangkan oleh pemimpin ekonomi Apec semasa mesyuarat mereka di Bali nanti.

Inisiatif penyepaduan ekonomi mengungguli senarai, diikuti oleh strategi pertumbuhan Apec, rasuah, Matlamat Bogor iaitu perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka, serta merapatkan jurang ketidaksamaan pendapatan di rantau ini.

Yang ketara tidak termasuk dalam senarai keutamaan ialah penyelesaian rundingan perdagangan Pusingan Doha di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Sejak 2007, minat terhadap Pusingan Doha merosot daripada 52 peratus kepada 16 peratus tahun ini.

Dalam kajian itu, hanya 11 peratus pemimpin perniagaan berkata ia harus menjadi isu utama untuk dibincangkan oleh anggota Apec.

Jusuf Wanandi, Pengerusi Bersama PECC berkata: "Perjanjian perdagangan serantau tidak akan menyelesaikan semua masalah perdagangan kita.

"Kita perlu bergerak di atas landasan pelbagai hala melalui Pusingan Doha.

Apec telah mempamerkan kepimpinannya sebelum ini dengan Pusingan Uruguay. Ia harus berbuat demikian lagi." - Bernama

No comments:

Post a Comment