Saturday, November 2, 2013

Pembocor maklumat risikan bekerja di Rusia

Edward Snowden
Edward Snowden

MOSCOW - RUSIA.  Pembocor maklumat risikan Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden, didakwa mula bekerja dengan sebuah syarikat laman media sosial ternama Rusia semalam, kata peguam beliau.

Kenyataan peguam Snowden itu, Anatoly Kucherena, menimbulkan spekulasi bahawa syarikat itu mungkin majikan terbaru anak guamnya.

Kucherena enggan memberikan nama syarikat itu tetapi perhatian kini tertumpu kepada syarikat VKontakte, yang dilihat serupa rangkaian sosial, Facebook.

“Snowden akan mula bertugas dengan syarikat besar Rusia pada Jumaat, 1 November.

"Tugasnya adalah menyokong dan mengembangkan laman utama Rssia,” kata Kucherena kepada agensi berita, Interfax.

Pengasas VKontakte, Pavel Durov, telah menawarkan Snowden jawatan dalam syarikatnya secara terbuka Ogos lalu melalui akaun media sosialnya.

Durov, 29 tahun, yang mengasaskan secara bersama khidmat rangkaian sosial itu pada 2006 berkata, bahawa Snowden mungkin boleh bertugas melindungi data peribadi berjuta pengguna rangkaian sosial itu.

VKontakte menyatakan ia mempunyai lebih 100 juta pengguna.

Jurucakap VKontakte, Georgy Lobushkin memberitahu agensi berita RIA Novosti, beliau tidak boleh memberikan komen berhubung spekulasi yang menyatakan Snowden bertugas di syarikat itu.

Dua lagi syarikat Internet utama Rusia, Mail.Ru Group dan Yandex, jelas menafikan mereka tidak mengambil Snowden bekerja.

Snowden menjadi pelarian setelah membocorkan maklumat risik Agensi Keselamatan Nasional (NSA) AS.

No comments:

Post a Comment