Sunday, December 1, 2013

Aishah janji pulang

London: Kakak Siti Aishah Abdul Wahab menganggap pertemuan pertamanya dengan ‘hamba’ pemimpin Maoist ekstrem sejak lebih 40 tahun semalam sebagai detik campuran gembira dan sedih.
Menurut Kamar Mahtum Abdul Wahab, 73, Siti Aishah dalam keadaan baik tetapi menganggap adiknya seperti orang lain berbanding insan yang pernah dikenalinya.
Kata Kamar Mahtum, pada permulaannya dia tidak mengenali Siti Aishah.

“Dia nampak sangat berbeza - 40 tahun lebih tua dan wajah gadis yang jelita dulu sudah tiada. Namun, saya juga semakin tua sekarang,” katanya.
Dalam pertemuan itu, kata Kamar Mahtum, perkara pertama dilakukannya dengan Siti Aishah adalah berdakapan selepas mereka terputus hubungan sekian lama. 
“Saya menangis - pertama kerana lega, kemudian kerana marah dan kecewa.

“Siti Aishah bertanya saya mengenai ibu dan saya memberitahunya ibu kami sudah tiada 19 tahun lalu,” katanya.

Siti Aishah adalah seorang daripada tiga wanita diselamatkan polis Britain selepas dijadikan ‘hamba’ selama 30 tahun.

Mereka dikatakan terpengaruh dengan ajaran komunisme dan Maoist tegar yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Aravindan Balakrishnan dan isterinya Chanda Pattni.

Di sebalik laporan media mengenai ‘perhambaan’ itu, Siti Aishah sebaliknya menafikan dia didera secara mental dan fizikal.

Dalam pertemuan selama 40 minit di lokasi rahsia dan dikawal ketat polis semalam, Siti Aishah berkata, dia gembira hidup di tempatnya kini dan mempunyai ramai kawan.

Kamar Mahtum berkata, dia diberitahu, Siti Aishah bekerja dan melakukan “tugas penting” di tempatnya, namun tidak dinyatakan maksud kenyataan itu lebih lanjut.

Siti Aishah juga bertegas mendakwa, dia tidak pernah bersendirian di London dan ada orang yang menjaganya.

Memetik pengakuan Siti Aishah, Kamar Mahtum berkata, adiknya itu berasa dirinya dihargai dan disayangi di tempat tinggalnya.

Malah, kata Kamar Mahtum, Siti Aishah berkata, tanpa saudara-mara dia juga boleh hidup dengan selamat seperti dibuktikan selama 40 tahun lalu.

“Saya sangat kecewa,” katanya.

Namun Kamar Mahtum mendakwa, Siti Aishah berjanji untuk pulang bertemu warisnya di Malaysia selepas siasatan mengenai kes itu selesai.

Media tempatan menganggarkan kes itu mungkin berlanjutan sehingga setahun untuk disiasat.

Kamar Mahtum berkata, dia mahu anaknya mengenali Siti Aishah secara langsung, terutama apabila melihat Siti Aishah “lebih British berbanding Malaysia” kerana tinggal di Britain terlalu lama.

“Dia menegur dengan lembut cara saya berpakaian kerana menganggap ia tidak sesuai dipakai dalam suhu sejuk.

“Apabila saya cuba bercakap Melayu dengannya, dia bertanya mengapa saya begitu ketika dia tidak mendengar bahasa itu selama 40 tahun,” katanya.

Kamar Mahtum menunjukkan surat yang ditulisnya untuk Siti Aishah, wanita terbabit tak dapat memahaminya.

Kata Kamar Mahtum, kali terakhir dia bertemu Siti Aishah ialah pada 1967 ketika adiknya berpindah ke London bersama tunangnya.

Pertemuan semalam diawasi kira-kira 10 anggota polis dan wakil wakil dari Kedutaan Malaysia. - Agensi

No comments:

Post a Comment