Sunday, December 1, 2013

Polis perketat kawalan di Bangkok


SEBUAH teksi diserang oleh penunjuk perasaan antikerajaan berdekatan sebuah stadium di Bangkok.


BANGKOK - Polis mengetatkan kawalan keselamatan di ibu kota Thailand di sini semalam selepas beribu-ribu penunjuk perasaan berikrar akan menawan pejabat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra untuk melumpuhkan pentadbirannya.
Kumpulan penunjuk perasaan tersebut berkumpul di luar bangunan sebuah kumpulan syarikat telekomunikasi di kota raya ini.
Berdepan sokongan yang kian merudum, mereka mula bertindak ganas dengan memecah masuk ke dalam ibu pejabat tentera di sini kelmarin.
Tindakan itu dilakukan untuk mendesak angkatan bersenjata supaya memihak kepada mereka dalam pergelutan kuasa yang melibatkan usaha melemahkan pengaruh abang Yingluck iaitu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.
"Lusa (hari ini), kita akan mengumumkan kemenangan kita dan kekalahan rejim Thaksin," kata ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban di hadapan beribu-ribu penyokongnya lewat kelmarin.
Menjelang tengah hari semalam, beberapa ribu penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan pejabat syarikat telekomunikasi kerajaan, TOT Plc.
Mereka juga merancang untuk mengepung ibu pejabat polis, Rumah Kerajaan dan sebuah zoo.
"Kita perlu melanggar undang-undang sedikit untuk mencapai matlamat kita," kata Suthep.
Beliau merupakan bekas timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran sebelum ini yang ditewaskan oleh Yingluck pada pilihan raya 2011.
Dalam perkembangan berkaitan, beratus-ratus anggota polis mengosongkan bas dan van yang berada berdekatan pejabat perdana menteri di Rumah Kerajaan.
Seorang pegawai polis memberitahu agensi berita Reuters bahawa kira-kira 5,000 anggota polis akan ditempatkan di lokasi tersebut menjelang lewat semalam.
Ancaman Suthep itu memburukkan lagi konflik antara golongan kelas pertengahan bandar dengan penyokong Yingluck dan Thaksin yang terdiri daripada penduduk desa.
Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 sebelum didapati bersalah atas tuduhan rasuah dua tahun kemudian.
Beliau hidup di luar negara sejak tahun 2008 untuk mengelak daripada hukuman penjara tetapi masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam kerajaan pimpinan Yingluck.
Semalam Suthep menggesa penyokongnya supaya menamatkan rejim Thaksin dengan menutup kompleks pentadbiran kerajaan sebelum menawan Kementerian Buruh, Hal Ehwal Luar, Pendidikan dan Dalam Negeri hari ini.
Namun, kerajaan Yingluck berikrar akan terus mentadbir negara dan mengawal ketenteraman awam. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2mAyhQtW8 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment