Friday, December 20, 2013

Cubaan singkirkan kerajaan Turki


ANKARA 19 Dis. - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan (gambar) menyifatkan penahanan berpuluh-puluh individu berprofil tinggi atas dakwaan rasuah, merupakan operasi 'kotor' untuk menentang kerajaannya.
Berpuluh-puluh ketua polis dipecat dalam operasi membanteras rasuah pada Selasa lalu, sekali gus menyaksikan penahanan 51 orang termasuk anak kepada tiga menteri dan beberapa ahli perniagaan terkenal.
"Saya tidak akan membenarkan komplot politik dilakukan untuk menentang kerajaan.
"Tiada siapa mempunyai hak untuk menggelapkan masa depan negara ini," kata Erdogan.
Sekurang-kurangnya 16 ketua polis di Istanbul dan 18 lagi di Ankara dipecat atas dakwaan rasuah, manakala 51 orang lagi ditahan kerana disyaki menerima atau memberi rasuah untuk beberapa projek pembangunan selain kesalahan penyeludupan emas dan penggubahan wang haram.
Antara suspek yang ditahan termasuk anak kepada Menteri Dalam Negeri, Muammer Guler; Menteri Ekonomi, Zafer Caglayan; dan Menteri Alam Sekitar, Erdogan Bayraktar.
Pihak polis turut merampas wang AS$4.5 juta (RM14.6 juta) yang disembunyikan di dalam kotak kasut di rumah seorang lagi suspek, Suleyman Aslan yang merupakan Ketua Eksekutif Bank milik kerajaan, Halkbank.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc berkata, operasi polis tersebut merupakan perang psikologi terhadap Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang dipimpin Erdogan.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan dalang yang terlibat dalam operasi terbabit.
"Saya percaya kesemua ahli politik dan ahli perniagaan yang ditahan itu tidak bersalah.
"Namun, kerajaan tidak akan teragak-agak menyingkirkan mereka jika didapati bersalah," katanya.
Ketegangan politik semakin meruncing di Turki menjelang beberapa siri pilihan raya bermula tahun depan yang menjadi ujian penting kepada Erdogan selepas pergolakan antikerajaan yang berlaku pada Jun lalu.
Operasi besar-besaran kelmarin mendedahkan keretakan dalam kepimpinan Erdogan terutamanya membabitkan perselisihan antara kerajaannya dan ulama berpengaruh, Fethullah Gulen yang mempunyai hubungan baik dengan polis dan badan kehakiman.
Fethullah yang merupakan bekas sekutu kepada Erdogan bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengatakan beliau terlibat dalam operasi menentang kerajaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131220/lu_04/Cubaan-singkirkan-kerajaan-Turki#ixzz2nzSMnvbV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment