Sunday, December 29, 2013

Erdogan didesak berundur


ISTANBUL 28 Dis. - Polis Turki semalam bertindak melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan dalam demonstrasi di Dataran Taksim di sini bagi menggesa Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan meletakkan jawatan ekoran skandal rasuah.
Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan daripada parti pembangkang membaling batu dan mercun ke arah anggota polis sambil melaungkan slogan "Tangkap Pencuri!" yang merujuk kepada Erdogan, dalam kejadian tersebut.
Polis turut bertindak mengejar penunjuk perasaan sehingga ke kawasan pusat membeli-belah Istikal Caddesi yang terletak berdekatan dataran tersebut.
Sekurang-kurangnya 70 orang penunjuk perasaan dilaporkan ditahan.
Demonstrasi antikerajaan juga dilaporkan berlaku di beberapa lagi tempat termasuklah di Ankara dan Izmir.
Menurut Persatuan Peguam Istanbul, seramai 31 orang termasuk tiga peguam turut ditahan kerana terlibat dalam satu tunjuk perasaan di Istanbul.
Dalam pada itu, Erdogan yang melawat Sakarya disambut beribu-ribu penyokongnya apabila tiba di sebuah lapangan terbang di wilayah itu, semalam.
Erdogan dalam ucapannya di Sakarya menyifatkan siasatan rasuah yang sedang dijalankan sebagai halangan usaha pembinaan Turki yang baharu.
"Dakwaan ini bukan menjadikan saya atau parti pimpinan saya sebagai sasaran tetapi menyasarkan kebebasan dan masa depan negara Turki," katanya yang dipetik oleh agensi berita Anadolu.
Skandal rasuah di Turki bermula pada 17 Disember lalu apabila polis yang menjalankan siasatan penyelewengan berprofil tinggi bertindak menahan 24 orang termasuk anak tiga menteri Kabinet dan Ketua Eksekutif bank milik kerajaan, Halkbank, Suleyman Aslan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131229/lu_05/Erdogan-didesak-berundur#ixzz2opp8k1co
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment