Tuesday, December 3, 2013

Hamba moden

Hamba moden
Gambar hiasan
WALAUPUN dunia hari ini semakin menuju arus kemodenan, perhambaan yang wujud sejak ratusan tahun nyata tidak pernah lenyap.

Dua minggu lalu, gempar apabila polis Britain menyelamatkan tiga wanita termasuk seorang warga Malaysia selepas didakwa menjadi hamba domestik selama lebih 30 tahun di sebuah rumah di selatan London.

Sehubungan itu, pegawai polis daripada Unit Pemerdagangan Manusia menahan dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita, kedua-dua berusia 67 tahun sebagai sebahagian daripada siasatan.

Siasatan dilancarkan bermula Oktober lalu selepas sebuah badan kebajikan menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mengatakan dia dikurung tanpa kemahuannya di dalam sebuah rumah sejak lebih 30 tahun lalu.

Mangsa, seorang rakyat Malaysia berusia 69 tahun, warga Ireland berusia 75 tahun dan seorang warga Britain berusia 30-an kini dibawa ke tempat lebih selamat.

Menurut Ketua Unit Pemerdagangan Manusia Polis Metropolitan, Kevin Hyland, kesemua mangsa kini berada dalam keadaan trauma dan wanita mangsa termuda yang dikurung berkemungkinan dilahirkan ketika dalam kurungan.

“Pihak polis tidak mempunyai bukti kukuh berlakunya penderaan seksual ke atas mangsa dan tidak tahu hubungan antara mangsa dan suspek.

“Kes perhambaan selama 30 tahun ini adalah luar biasa dan kami memuji tindakan badan kebajikan yang menyokong untuk membantu mangsa. Siasatan besar-besaran telah dilancarkan untuk mewujudkan fakta bagi pertuduhan ini,” katanya.

Sementara itu, pengasas badan kebajikan, Aneeta Prem berkata, kesemua mangsa mengalami penderaan mental dan fizikal.

“Cerita begini sememangnya jarang berlaku. Bagaimanapun, saya pernah mendengar ia berlaku di luar negara tetapi tidak di kota London,” katanya.

Proses pemulihan

Pakar Psikologi dari Sydney, Dr David Russell menyifatkan, peralihan semula ke dunia biasa akan mengambil masa kerana mangsa perlu menyesuaikan diri.

Menurutnya, ramai mangsa penculikan mengalami Sindrom Stockholm, di mana mereka mula membentuk hubungan dengan si penculik.

“Sesetengah mangsa tidak boleh pulih dan ada yang memerlukan lebih lima tahun untuk pulih dan menyesuaikan diri dengan masyarakat.

“Saya rasa mangsa perhambaan ini memerlukan penjagaan dan bantuan mungkin sepanjang hayat mereka,” katanya.

Perhambaan moden meluas

Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May berpendapat, perhambaan moden adalah meluas di Britain dan musuh sentiasa ada di mana-mana termasuk di kedai, padang, kilang dan mungkin di sebalik langsir.

“Menangani jenayah yang saya anggap hina ini kini menjadi keutamaan. Cara terbaik untuk melindungi dan mengurangkan bilangan mangsa perhambaan adalah mensabitkan kesalahan dan memenjarakan kumpulan penjenayah ini yang melibatkan pemerdagangan manusia,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan Britain akan menangani jenayah ini dan menjadikannya keutamaan bagi Agensi Jenayah Kebangsaan yang baru di mana hukuman maksimum akan ditingkatkan seperti penjara seumur hidup dan mewujudkan Pesuruhjaya Anti-Perhambaan.

No comments:

Post a Comment