Wednesday, December 25, 2013

Pemberontak komunis lancar serangan sebelum gencatan senjata


Gambar fail bertarikh 7 Oktober 2011, menunjukkan seorang pegawai penyiasat berjalan di ke arah deretan trak-trak yang hangus terbakar akibat diserang pemberontak komunis di wilayah Surigao del Norte, selatan Filipina. - AGENSI
MANILA 24 Dis. - Pemberontak komunis di selatan Filipina bertindak membakar tiga buah teksi, sejam sebelum gencatan senjata selama 48 jam dikuatkuasakan sempena sambutan perayaan Krismas.
Jurucakap polis wilayah, Cif Inspektor Jed Clamor berkata, gerila Tentera Baharu Rakyat (NPA) membakar tiga buah teksi milik syarikat Holiday Taxi di bandar Panabo lewat malam semalam.
"Ini merupakan serangan yang dirancang. Mereka bertindak menyewa tiga buah teksi di lokasi berlainan untuk ke Panabo, sebelum mengacukan senjata ke arah pemandu dan membakar teksi berkenaan,'' kata Clamor.
Beliau menambah, 10 orang lelaki bersenjata memberitahu kepada pemandu teksi bahawa mereka merupakan anggota kumpulan NPA.
Polis mengesyaki, insiden itu merupakan sebahagian daripada cubaan peras ugut terhadap syarikat pengangkutan tersebut.
NPA yang bergerak aktif di sekitar kawasan pedalaman gugusan kepulauan Filipina sering memeras ugut peniaga-peniaga bagi mendapatkan dana.
Terdahulu, Parti Komunis yang mengawal NPA serta 4,000 ahlinya, mengisytiharkan gencatan senjata selama 48 jam sempena sambutan Krismas bermula hari ini termasuk pada sambutan tahun baharu nanti.
Sebelum ini, Presiden Benigno Aquino III mengisytiharkan perdamaian unilateral dengan NPA bermula pada 21 Disember lalu sehingga 15 Januari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, panel rundingan damai kerajaan menggesa pihak komunis supaya menghormati pengisytiharan yang telah ditetapkan.
"Kami menggesa mereka supaya menghormati gencatan senjata yang telah diisytiharkan oleh kerajaan,'' kata kenyataan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131225/lu_10/Pemberontak-komunis-lancar-serangan-sebelum-gencatan-senjata#ixzz2oRM5NNcS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment