Tuesday, December 17, 2013

Penunjuk perasaan lontar bom ditembak


Dhaka: Lima lagi terbunuh dalam pertempuran yang berlaku berpunca daripada hukuman gantung ke atas seorang tokoh Islam Bangladesh.

Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk menyuraikan tunjuk perasaan terbaru yang meletus kerana membantah pelaksanaan hukuman itu.


Polis berkata, pertempuran tercetus di beberapa tempat di daerah tenggara Satkhira ekoran hukuman gantung yang dijalankan ke atas tokoh tertinggi parti Islam terbesar negara itu, Abdul Quader Molla minggu lalu.



Aktivis Parti Jamaat-e-Islami menggunakan senjata dan bom buatan sendiri, menyerang pasukan polis dan pengawal sempadan separa tentera, kata polis.


“Kami melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri,” kata timbalan ketua polis daerah, Moniruzzaman kepada media mengenai pertempuran yang berlaku awal pagi di Satkhira, kubu kuat parti itu.


Pegawai daerah Anwar Hossain memberitahu media, lima orang disahkan maut dalam pertempuran itu, manakala akhbar harian Bengali Prothom Alo memetik sumber tempatan sebagai berkata, mangsa ialah aktivis Jamaat. Keganasan terbaru itu berlaku ketika hari cuti awam di negara itu semalam bagi memperingati kemenangan terhadap Pakistan dalam perang menununtut kemerdekaan pada 1971. Setakat ini, lebih 30 orang mati apabila penyokong parti berkenaan memberontak untuk meluahkan kemarahan mereka kerana tidak puas hati dengan hukuman yang dikenakan ke atas Abdul Quader. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

No comments:

Post a Comment