Monday, January 20, 2014

Bangkok berdarah lagi


BEBERAPA penunjuk perasaan melihat cebisan baju yang berlumuran darah selepas beberapa penyerang tidak dikenali membaling dua butir bom ke arah mereka.


BANGKOK - Satu serangan terhadap kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di pusat bandar raya ini semalam menyebabkan 28 orang cedera sekali gus meningkatkan kebimbangan Thailand akan dilanda keganasan.
Serangan kedua dalam tempoh dua hari itu berlaku apabila beberapa penyerang tidak dikenali membaling dua butir bom sebelum melepaskan satu das tembakan terhadap sejumlah penunjuk perasaan yang berhimpun di sebuah persimpangan di sini.
Seorang ketua penunjuk perasaan, Thavorn Senniem berkata, bom itu dibaling ke arah orang ramai yang berkumpul berhampiran sebuah khemah di belakang pentas di mana beliau berada.
"Beberapa penunjuk perasaan kemudian mengejar salah seorang suspek itu tetapi mereka membaling satu lagi bom sebelum melepaskan satu das tembakan," kata Thavorn.
"Kedua-dua penyerang itu kemudiannya melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal," tambahnya.
Beberapa saksi memberitahu bahawa mereka melihat beberapa cebisan baju berlumuran darah dan sejumlah serpihan logam dipercayai bom tersebut di lokasi kejadian.
Seorang pegawai kesihatan pula berkata, seramai 28 orang penunjuk perasaan cedera dalam kejadian itu dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketika kejadian, penunjuk perasaan antikerajaan berkenaan berhimpun untuk menawan bandar raya ini bagi memaksa Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan kerajaannya meletak jawatan.
Penunjuk perasaan tersebut dan pembangkang utama Thailand, Parti Demokrat mahu pentadbiran negara diserahkan kepada Majlis Rakyat yang dilantik.
Mereka yang disokong golongan promonarki telah menguasai beberapa persimpangan utama di sini sejak Isnin lalu.
Yingluck sebelum ini mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan lebih awal pada 2 Februari depan sebagai usaha untuk mengurangkan ketegangan dalam negara ini.
Namun, inisiatif beliau ditolak oleh pembangkang.
Penunjuk perasaan antikerajaan itu yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban menuduh Yingluck menjadi boneka kepada abangnya iaitu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 dan kini hidup dalam buangan di luar negara. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2qsiDKd8O 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment