Tuesday, January 14, 2014

Bantahan jejaskan pekerja awam


Sebahagian kakitangan awam di Lembaga Ekonomi Kebangsaan dan Pembangunan Sosial, terpaksa keluar daripada pejabat selepas bangunan tersebut dikepung penunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok, semalam. - REUTERS
BANGKOK 14 Jan. - Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan Thailand berarak ke bangunan-bangunan kerajaan di ibu negara ini, hari ini sebagai sebahagian daripada kempen 'Tutup Bangkok' yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan dan membatalkan pilihan raya.
Peserta tunjuk perasaan turut bertindak menghalang kakitangan kerajaan daripada bekerja di beberapa bangunan kementerian utama di sini dalam usaha mereka meningkatkan tekanan ke atas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Menurut wartawan AFP di lokasi, kumpulan penunjuk perasaan itu berhimpun di luar Jabatan Kastam bagi menghalang kakitangan agensi tersebut daripada bekerja.
Selain bangunan kastam, penunjuk perasaan turut mengepung bangunan Kementerian Perdagangan; Kementerian Buruh, Lembaga Ekonomi Kebangsaan dan Pembangunan Sosial; serta Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Thailand.
"Ini bukan demokrasi, tetapi autokrasi. Kerajaan diperintah hanya oleh seorang individu. Rasuah turut berleluasa, begitu juga dengan amalan memetingkan kroni.
"Matlamat kami adalah untuk cuba menghapuskan semua perkara ini,'' kata pemimpin perhimpunan itu, Satish Sehgal yang menyelar bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Seorang lagi pemimpin pembangkang, Suthep Thaugsuban pula meneruskan retoriknya dengan menyatakan akan 'menahan' Yingluck serta satu-persatu menteri Kabinet sekiranya mereka gagal meletak jawatan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan terbaharu, kebanyakan persimpangan utama di Bangkok masih dihalang, mengakibatkan gangguan ke kedai-kedai runcit dan hotel.
Bagaimanapun, jumlah penunjuk perasaan di jalan-jalan utama dilihat semakin berkurangan dengan sebahagiannya didapati kembali bekerja.
Yingluck sebagai reaksinya kepada tunjuk perasaan terbaharu itu berkata, beliau akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sementara.
"Saya perlu tegaskan bahawa saya bukanlah mahu terus menjadi Perdana Menteri, tetapi saya sedang cuba mengawal keadaan. Saya hanya menjalankan amanah untuk mengekalkan demokrasi," katanya. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140115/lu_04/Bantahan-jejaskan-pekerja-awam#ixzz2qX3wosmx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment