Saturday, January 25, 2014

Isu kalimah Allah: MAIS tempelak Khalid Samad


SHAH ALAM 24 Jan. - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membidas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menuduh badan agama itu menjadi alat pihak tertentu dalam isu kalimah Allah sehingga mewujudkan ketegangan antara orang Islam dan Kristian.
Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, kenyataan Khalid yang menyatakan Bible yang dirampas itu mempunyai cap pengesahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diterbitkan kepada orang bukan Islam dan bukan dirampas ketika cuba diedarkan kepada orang Melayu juga adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab kerana dibuat tanpa menyemak kesahihan serta kebenaran fakta.
Menurutnya, MAIS menyokong tindakan Jabatan Agama Islam (JAIS) merampas Bible yang mengandungi kalimah Allah daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) kerana dibuat mengikut Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
"Kenyataan itu hanya bertujuan mengelirukan rakyat daripada mengetahui fakta sebenar tentang tindakan JAIS yang jelas bermotifkan kepentingan politik sempit dan bersifat memecah-belahkan masyarakat di negara ini.
"Sebagai seorang wakil rakyat yang beragama Islam, beliau (Khalid) seharusnya lebih sensitif atas tindakan pihak tertentu yang cuba mencemar kesucian agama Islam dan melanggar undang-undang secara terang-terangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dalam blognya baru-baru ini mempersoalkan tindakan (JAIS) yang merampas Bible versi bahasa Melayu dari pejabat Persatuan Bible Malaysia atas alasan menyekat agama Kristian daripada disebarkan kepada orang Islam.
Ini kerana katanya, Bible dengan cap KDN tersebut dirampas ketika dalam simpanan di pejabat persatuan itu dan bukannya dirampas ketika cuba diedarkan kepada orang Islam.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan JAIS itu sebahagian daripada strategi pihak tertentu bagi mewujudkan ketegangan antara penganut Islam dan bukan Islam di negeri ini.
Mohamad Adzib dalam pada itu sekali lagi menegaskan, JAIS tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak apabila ingin mengambil sesuatu tindakan penguatkuasaan kerana hanya akan mengganggu proses siasatan.
Jelasnya, tindakan Khalid yang menyokong supaya JAIS mendapat kebenaran Menteri Besar dan Exco Agama sebelum membuat sesuatu serbuan juga membuktikan Ahli Parlimen Shah Alam itu tidak memahami dan mengetahui peruntukan undang-undang negara dan negeri sedia ada yang jelas memberi kuasa mentadbir agama Islam kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, bukannya kepada Kerajaan Persekutuan atau negeri.
"Kami amat kesal kerana meskipun beliau seorang pemimpin veteran dan wakil rakyat tetapi prinsip asas perundangan negara tidak diketahui," ujarnya.
Mengulas mengenai dakwaan MAIS 'melaksanakan strategi politik UMNO' dan isu penyelesaian 10 perkara yang dikeluarkan jemaah menteri, Adzib menegaskan, MAIS tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak, malah secara dasarnya tidak bersetuju dengan penyelesaian 10 perkara itu.
"MAIS juga menggesa Khalid dan individu lain supaya menyemak kesahihan sesuatu fakta sebelum membuat sebarang kenyataan terutama melibatkan sensitiviti kaum serta agama.
"Pada masa akan datang, jika ada mana-mana kenyataan yang tidak bertanggungjawab serta berunsur fitnah dan hasutan, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140125/dn_27/Isu-kalimah-Allah-MAIS-tempelak-Khalid-Samad#ixzz2rMFlmJTy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment