Saturday, January 25, 2014

Tindakan JAIS rampas Bible ikut undang-undang


Kuala Lumpur: Resolusi 10 perkara yang dipersetujui kerajaan sebelum ini terbatal secara automatik di negeri yang mempunyai enakmen berkaitan agama Islam, tidak termasuk Sarawak dan Sabah.

Penegasan itu sekali gus mengesahkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas Bible menggunakan kalimah yang eksklusif untuk umat Islam awal bulan ini adalah tindakan yang menurut lunas undang-undang, selain tidak bertentangan dengan resolusi terbabit.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, dasar itu disepakati, namun keputusan itu tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri.

Tegas beliau, perkara kesembilan resolusi itu turut menyebut secara khusus bahawa ia tertakluk kepada kedua-dua perundangan berkenaan.

“Maknanya kalau negeri itu ada enakmen, ia tertakluk kepada enakmen negeri, tetapi jika negeri yang tidak mempunyai enakmen seperti Sabah dan Sarawak, maka amalan biasa boleh diteruskan dan tidak ada sesiapapun yang harus menakutkan mana-mana pihak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Resolusi 10 perkara dibuat kerajaan pada 2011 menjelang pilihan raya Sarawak yang antaranya membenarkan masyarakat Kristian di negeri itu dan Sabah terus menggunakan bible versi bahasa Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib yang juga Presiden UMNO berkata, MT sebulat suara menyokong pendirian kerajaan dalam mempertahankan kedudukan Islam termasuk kalimah Allah.

Ditanya mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengenai penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk orang Islam baru-baru ini, beliau menjelaskan titah berkenaan adalah dalam konteks negeri Kedah.

“Titah itu dibuat pada hari keputeraan baginda yang hanya membabitkan Kedah kerana Tuanku adalah ketua negeri berkenaan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata panduan Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) UMNO akan diedarkan kepada semua badan perhubungan negeri, bahagian dan cawangan.



Kata beliau setiap ahli MT akan memantau KPI bahagian manakala ketua bahagian akan ditugaskan untuk memantau KPI cawangan.

“KPI itu juga akan digunakan bagi memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan lebih aktif dan sistematik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

No comments:

Post a Comment