Wednesday, January 1, 2014

Penyokong kerajaan, pembangkang bertempur


Penyokong Parti Liga Awami Bangladesh membawa kayu semasa menyertai perarakan bantahan di Dhaka, kelmarin. - AFP
DHAKA 31 Dis. - Penyokong parti pemerintah Bangladesh bertempur dengan penyokong pembangkang di sini semalam, sehari selepas pasukan keselamatan berjaya menggagalkan cubaan pembangkang untuk mengadakan perarakan bantahan.
Pertempuran itu turut menyaksikan penyokong kedua-dua belah pihak saling membaling batu antara satu sama lain, walaupun polis mengadakan kawalan ketat di ibu negara.
Selain itu, anggota wanita Parti Liga Awami turut bertempur dengan sekumpulan peguam yang setia kepada pembangkang iaitu Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) di hadapan Mahkamah Agung, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Keganasan mula tercetus Ahad lalu, selepas polis menghalang ketua pembangkang, Khaleda Zia daripada meninggalkan rumahnya untuk mengetuai tunjuk perasaan antikerajaan.
Zia yang pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali, dijadual menyertai perarakan bantahan tersebut untuk memberi tekanan kepada kerajaan supaya membatalkan pilihan raya yang ditetapkan pada 5 Januari ini dan menyerahkan kuasa kepada kerajaan sementara untuk menyelia undi.
''Kerajaan sudah menyalahi undang-undang. Demokrasi di negara ini sudah mati,'' kata Zia kepada wartawan.
Zia bersama-sama sekutunya memulau pilihan raya tersebut kerana bimbang kerajaan akan memanipulasi keputusan pilihan raya.
Sekurang-kurangnya seorang aktivis pembangkang terbunuh dalam pertempuran dengan pihak keselamatan pada Ahad lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140101/lu_04/Penyokong-kerajaan-pembangkang-bertempur#ixzz2p6EPRrua
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment