Thursday, February 6, 2014

Dakwat kekal: Solat hajat untuk pegawai tentera

KUALA LUMPUR: Seluruh ahli dan penyokong PAS digesa mengadakan solat hajat berikutan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad yang akan dihadapkan ke Mahkamah tentera esok berhubung kenyataan beliau tentang dakwat tak kekal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, PAS mendoakan agar Mejar Zaidi diberi ketabahan dan kekuatan berdepan ujian ini dan semoga Allah mempermudahkan segala urusan beliau esok.

"Kita minta seluruh ahli dan penyokong PAS mengadakan solat hajat malam ini semoga Allah memberi kemenangan kepada beliau esok," kata beliau yang juga Pengarah Jabatan Tarbiah PAS kepada Harakahdaily.

Zaidi akan dihadapkan ke Mahkamah TUDM Pangkalan Udara Kuala Lumpur esok atas tujuh pertuduhan kerana membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal pada hari pembuangan undi PRU13 lalu.

Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.

Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.

Semua pertuduhan berkenaan merujuk pada tarikh 1 Mei 2013 di dua lokasi berbeza iaitu perkarangan Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas dan Pangkalan Udara Butterworth.

No comments:

Post a Comment