Wednesday, March 26, 2014

Berlumba cari kotak hitam



KRU HMAS Success menggunakan lampu limpah untuk mengesan serpihan dipercayai ada kaitan dengan pesawat MH370 di Lautan Hindi malam semalam.


CANBERRA, Australia - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini kesuntukan masa untuk mencari kunci utama bagi menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH370 terhempas di Lautan Hindi iaitu kotak hitam pesawat tersebut.
Dengan masa yang semakin suntuk, pasukan SAR kini bertungkus-lumus mencari kotak hitam pesawat sebelum kuasa baterinya menjadi semakin berkurangan selepas tempoh 30 hari.
Mengikut undang-undang yang ditetapkan, kotak hitam sesebuah pesawat perlu mempunyai keupayaan untuk menghantar isyarat selama 30 hari selepas ia diaktifkan.
Tetapi pakar berpendapat, mereka boleh terus menerima isyarat dari kotak hitam itu untuk tempoh 15 hari atau lebih, bergantung kepada kekuatan bateri pada masa kemalangan itu.
"Kami perlu mengharapkan tuah. Ia seperti satu perlumbaan untuk sampai ke lokasi dalam masa ditetapkan bagi mengesan isyarat daripada kotak hitam selagi ia masih berfungsi," kata John Goglia, seorang bekas anggota Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS).
Untuk mengesan isyarat tersebut, SAR akan menggunakan alat pendengaran berteknologi tinggi yang dipinjamkan oleh Tentera Laut AS iaitu Towed Pinger Locator.
Ia merupakan sebuah silinder mikrofon sepanjang 30 inci yang ditarik perlahan-lahan dalam paten grid di belakang kapal komersial.

TOWED Pinger Locator merupakan salah sebuah alat yang digunakan untuk mengesan kotak hitam MH370.


Ia dipasang bersama kabel sepanjang kira-kira 6,500 meter dan dikawal melalui alat pembawa berbentuk tiga segi dan berwarna kuning.
Ia kelihatan seperti ikan pari dan dilengkapi peralatan pengesanan akustik yang juga akan berfungsi mengesan isyarat ping.
Situasi ini sama seperti operasi mengesan bangkai pesawat Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada tahun 2009 yang membabitkan kos lebih daripada AS$40 juta (kira-kira RM120 juta).
Misi mencari pesawat tersebut memakan masa hampir dua tahun sebelum pesawat dan kotak hitam pesawat itu ditemui.
Sementara itu di Kuala Lumpur, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan Towed Pinger Locator yang dibawa dari Amerika Syarikat dijangka tiba hari ini di Perth, Australia.
Beliau berkata, alat itu akan dipasang pada kapal milik tentera laut Australia, Ocean Shield yang akan berlabuh di Perth pada 28 Mac ini.
"Kapal Ocean Shield itu pula akan menuju ke kawasan pencarian dan dijangka tiba pada 5 April depan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2x1E716VP 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment