Wednesday, March 26, 2014

Data INMARSAT petunjuk utama


KUALA LUMPUR: Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengesahkan penerbangan MH370 berakhir di tengah Selatan Lautan Hindi, tumpuan kini beralih kepada data satelit INMARSAT yang digunakan untuk mengesan laluan penerbangan pesawat berkenaan.
Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kaedah yang digunakan adalah rumit dan yang pertama kali untuk siasatan insiden seumpama ini.
Selain itu operasi mencari dan menyelamat di Koridor Selatan yang ditangguhkan hari ini berikutan faktor cuaca akan disambung semula secepat mungkin.

Berikut sesi soal jawab media dan Hishammuddin pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Turut sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Foto

Soalan: Kenapa baru 12 Mac, kerajaan Malaysia mengumumkan pesawat itu hilang di Lautan Hindi dan di mana anda mendapat bukti?
Azharuddin: Kami dapat maklumat daripada satelit dan INMARSAT. Kemudian kami perlu lakukan banyak analisis sebelum membuat pendedahan.

Soalan: Bolehkah berikan data terperinci mengenai paten pesawat, ketinggian dan lain-lain perkara?
Hishammuddin: Segala data terperinci akan kami agihkan kepada media kemudian. Jika selepas ini kamu ada soalan berkenaan data tersebut, sila e-mel kepada kami dan kami akan menjawab pada keesokan hari.

Soalan: Adakah bukti baru berkenaan pesawat terbabit terhempas di Laut Hindi?
Hishammuddin: Kami telah berbincang dengan pakar-pakar tetapi semua persoalan itu cuma boleh dijawab bila kita jumpa kotak hitam. Kita tidak akan mendedahkan penemuan baru kerana akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Soalan: Ramai ahli keluarga penumpang mahu bukti kukuh?
Hishammuddin: Saya tahu perkara terbabit. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberitahu mereka tanpa kita telah pastikan bahawa serpihan pesawat terbabit adalah serpihan pesawat MH370. Bagaimanapun, saya optimis dan kita akan buat sedaya upaya.

Soalan: Kenapa sehingga hari ini masih belum ada bukti kukuh penumpang telah meninggal dunia dan apakah bentuk insurans disediakan oleh MAS?
Hishamuddin: Kedudukan pesawat terakhir, saya panggil lokasi am di tengah laut Hindi. Pesawat terbabit membawa minyak yang minimum dan tiada bukti pendaratan di darat. Jadi, kita boleh merumuskan bahawa pesawat terbabit jatuh di dalam air dalam tempoh 17 ke 18 hari dan adalah sukar untuk penumpang selamat dalam tempoh itu. Selain itu, kami juga sedang bekerja keras bagi menyediakan bantuan kewangan sewajarnya bagi mengurangkan beban keluarga penumpang.

Soalan: Bagaimana siasatan terkini simulator?
Khalid: Siasatan terhadap simulator masih lagi dijalankan dan tunggu laporan daripada rakan kita dari luar negara

Soalan: Adakah Malaysia masih akan mengetuai pasukan penyiasat utama?
Hishammuddin: Kita akan memastikan koordinasi kesemua 26 negara lain di dalam misi pencarian dan menyelamat. Malaysia akan merangka pelan untuk menjadi negara yang mengetuai.

Soalan: Sekiranya negara lain menarik diri, adakah Malaysia akan tetap meneruskan misi?
Hishammuddin: Tetap dan kita akan teruskan setelah mengambil inspirasi daripada kegigihan pasukan penyelamat Perancis sewaktu tragedi Air France selama dua tahun. Mereka juga berkongsi maklumat dengan kita.

Soalan: Apakah yang akan dibuat untuk menenangkan keluarga penumpang di China berikutan dakwaan mereka kerajaan Malaysia tidak menyalurkan maklumat tepat?
Hishammuddin: Kita akan sentiasa telus. Kita konsisten dalam pendirian kita. Apa jua spekulasi di luar sana dan apa jua tuduhan dilontar kepada kita, kita tidak akan berganjak daripada fokus utama iaitu mencari pesawat berkenaan. 

Soalan: Adakah betul seperti yang anda beritahu di Parlimen yang kerajaan akan menubuhkan suruhanjaya siasatan khas?
Hishammuddin: Itu tidak betul kerana, itu hanya cadangan di Parlimen dan saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Tetapi apa yang saya boleh beritahu ialah Angkatan Tentera Malaysia sedang mengendalikan siasatan mereka sendiri. Bagaimanapun, saya akan mengusulkan suruhanjaya siasatan diraja ini pada mesyuarat Kabinet nanti.

Soalan: Adakah serpihan pesawat akan dibawa ke Australia jika ditemui?
Hishammuddin: Saya tidak boleh memberi jawapan sekarang sama ada serpihan akan dibawa ke Australia. Saya akan memberi jawapan kemudian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

No comments:

Post a Comment