Monday, March 31, 2014

‘Darth Vader’ mahu jadi Presiden Ukraine


Kiev: Ketika Ukraine cuba menstabilkan keadaan negara itu selepas dilanda pelbagai krisis, “Darth Vader” mengumumkan akan bertanding merebut jawatan presiden negara itu dengan janji mengembalikan kegemilangannya.

Seorang penunjuk perasaan yang berpakaian seperti watak jahat dalam filem Star Wars itu sering dilihat berada di Dataran Kemerdekaan Kiev ketika tunjuk perasaan musim sejuk lalu sambil diiring “Stormtroopers” - tentera elit dalam filem berkenaan, semalam diumumkan sebagai calon presiden dari Parti Internet Ukraine (UIP).

Dia menjadi terkenal kerana penampilannya itu.

“Selepas mengadakan perbincangan di peringkat parti, kami memutuskan untuk mencalonkan Vader bertanding jawatan berkenaan,” kata pemimpin parti, Dmitry Golubov.


Dengan memakai kostum serba hitam menyerupai watak berkenaan, dia terbabit dalam beberapa tindakan politik di negara itu sebelum ini.

Pada November 2013, dia dengan diiringi Stormtroopers memasuki dewan bandar raya Odessa dan mengumumkan dirinya datuk bandar.

Menurut laporan media tempatan, dia juga menuntut sebidang tanah di bandar itu bagi meletakkan “kapal angkasanya”.

“Walaupun berseorangan, saya mampu menukar sebuah republik menjadi empayar bagi mengembalikan kegemilangan Ukraine, mengembalikan wilayah yang sudah hilang dan mengembalikan kebanggan negara ini,” katanya.

Parti itu turut membayar wang pendaftaran calon “luar biasa” mereka.

Pilihan Raya Presiden Ukraine dijadualkan pada 25 Mei selepas Viktor Yanukovych yang pro-Moscow digulingkan bulan lalu.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

No comments:

Post a Comment