Monday, March 31, 2014

Tatar mahu wilayah autonomi


SEBAHAGIAN delegasi menghadiri perhimpunan komuniti Tatar, Kurultai berikutan usul penubuhan ‘wilayah etnik dan autonomi’ penduduk minoriti di Semenanjung Laut Hitam itu selepas majoriti penduduk Crimea bersetuju mahu keluar dari Ukraine dan bergabung dengan Rusia di Bakhchisaray, Ukraine, kelmarin. - REUTERS
BAKHCHISARAY, Crimea 30 Mac - Wakil-wakil etnik Islam Tatar, hari ini meluluskan usul bagi penubuhan ‘wilayah etnik dan autonomi’ penduduk minoriti di Semenanjung Laut Hitam itu selepas majoriti penduduk Crimea bersetuju mahu keluar dari Ukraine dan bergabung dengan Rusia.
Pengerusi Perhimpunan Tatar Crimea, Refat Chubarov berkata, tindakan itu diambil selepas kira-kira 300,000 penduduk minoriti Islam daripada dua juta penduduk Crimea, masih mengambil pendirian menentang penggabungan wilayah ini dengan Rusia.
Refat berharap usul untuk mendapatkan wilayah autonomi itu, mendapat reaksi yang positif daripada Kiev dan Moscow.
Jelasnya, perhimpunan itu pada asalnya diadakan untuk mempertimbangkan sama ada mahu melaksanakan pungutan suara dalam kalangan penduduk Islam Tatar bagi memilih menyertai Rusia atau kekal dengan Ukraine.
"Apabila tiba masanya, etnik Islam Tatar perlu membuat keputusan penting bagi menentukan masa depan sebagai golongan minoriti.
"Saya meminta semua wakil menyokong usul penubuhan wilayah etnik dan autonomi di Crimea mengikut saluran politik dan undang-undang," katanya kepada lebih 200 wakil sebelum undian bermula.
Semasa pungutan suara pada 16 Mac lalu, penduduk Islam Tatar mengambil keputusan untuk memulaukan undian terbabit sebagai membantah usul bergabung dengan Rusia.
Moscow turut memberi tekanan kepada golongan minoriti itu agar tidak menentang penggabungan wilayah terbabit, namun usul menubuhkan wilayah autonomi memberi petanda bahawa masyarakat Islam Tatar sedia berunding status mereka dengan Rusia.
Rusia menghantar dua tokoh Islam negaranya iaitu Ketua Majlis Mufti, Ravil Gaynutdin dan Ketua Persatuan Tatarstan, Rustam Minnikhanov untuk memujuk masyarakat Islam Tatar menyebelahi Moscow. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140331/lu_01/Tatar-mahu-wilayah-autonomi#ixzz2xUQG8XwE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment