Sunday, March 16, 2014

Kapten Zaharie hanya ahli PKR
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mac 2014

Kapten Zaharie
Kapten Zaharie 

 Kapten Zaharie hanya ahli PKR
(dari kiri) Naib Presiden Pkr,YB Tian Chua bersama (tengah) Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri,Khalid Jaafar dan (kanan) Ahli Parlimen Subang,R.Sivarasa pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Keadilan,Kajang. - Foto Sinar Harian Afiq Razali

KAJANG  – PKR menolak laporan sebuah media antarabangsa yang mengaitkan penglibatan juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah dalam teori konspirasi rampasan pesawat itu.

Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa, Daily Mail melaporkan kemungkinan teori pesawat tersebut dirampas sebagai protes terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

"Kapten Zahari bukan seorang aktivis sosial yang lantang, carilah mana kenyataan akhbar dibuat beliau. Dia hanya penyokong dan anggota parti.

"Saya sahkan dia ahli PKR dan sertai parti pada 23 Januari 2013 tapi tak relevan untuk tuduh kehilangan pesawat ini berkaitan dengan PKR,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama PKR, di sini, hari ini.

Menurut akhbar tabloid akhbar Britain itu, beberapa jam sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 777-200ER untuk ke Beijing, Kapten Zaharie telah hadir ke mahkamah pada 7 Mac lalu untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Mengulas perkara sama, Tian Chua menegaskan, kehilangan pesawat ini tidak ada kena mengena dengan PKR dan tuduhan ini tidak relevan.

"Ini adalah satu kes membabitkan keselamatan pesawat dan tanggungjawab MAS dan pihak berkuasa.

"Isu keselamatan tidak wajar dikaitkan bermotif politik. Jangan main sentimen seumpama ini kerana menyinggung dan menjejas imej negara dalam perspektif antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, Kapten Zaharie sama dengan sejuta penyokong PKR yang lain dan mendesak supaya laporan tidak bertanggungjawab serta tidak profesional dihentikan segera.

"PKR tidak berhasrat untuk ambil tindakan undang-undang kerana ia tidak membantu carian pesawat tapi harapkan kenyataan ini dibetulkan berlandaskan fakta," katanya.

No comments:

Post a Comment