Thursday, May 1, 2014

Felda menang kes saman isu jual minyak ke Israel


KUALA LUMPUR 30 April - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah dan empat yang lain diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar ganti rugi RM100,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) setelah didapati memfitnah konglomerat perladangan itu kononnya menjual minyak sawit mentah (MSM) ke Israel.
Hakim Lee Heng Cheong dalam keputusannya hari ini berkata, Felda berjaya membuktikan fakta, tidak pernah menjual MSM kepada Israel dan entri yang dimuat naik oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dalam laman sosial Facebook adalah fitnah bertulis terhadap entiti tersebut.
Menurutnya, setelah mendengar keterangan saksi-saksi dan meneliti bahan bukti, beliau turut mendapati pernyataan yang dibuat oleh Mazlan dalam satu perhimpunan haram di hadapan pejabat Felda pada 23 November 2012 dan dua artikel yang disiarkan dalam Harakah dan Suara Keadilan adalah artikel fitnah terhadap lembaga tersebut.
Malahan Felda selaku pihak plaintif juga, katanya, berjaya membuktikan Felda IFFCO Oil Products Sdn. Bhd. dan Felda Global Ventures adalah dua entiti yang berbeza dan tiada penjualan MSM oleh Felda kepada Israel.
Mahkamah itu juga mendapati, Bunge Agribusiness Singapore Pte. Ltd. yang didakwa oleh Mazlan sebagai syarikat Israel sebenarnya bukan syarikat milik rejim terbabit.
“Sehubungan itu, saya mendapati dua artikel yang dibuat Mazlan telah disiarkan oleh Mustafa selaku penerbit Harakah, selepas ditulis semula oleh penulis artikel, Mohd. Arif Atan; yang diluluskan oleh Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah, Taufek Yahya dan pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran ENT Sdn. Bhd. mampu memfitnah pihak plaintif," ujar beliau.
Menurut beliau, kesemua mereka yang dinamakan sebagai defendan kedua hingga keenam telah gagal membuktikan pem­belaan masing-masing yang bersandarkan kepada perlindungan bersyarat dan gagal membuktikan dua artikel yang disiarkan dalam Harakah merupakan suatu komen yang adil.
Hakim Heng Cheong berkata, sungguhpun beliau mendapati artikel tersebut memfitnah Felda namun mahkamah berpendapat, Maz­lan telah berjaya dalam pembelaan bahawa kenyataan itu diterbitkan di bawah perlindungan bersyarat dan suatu komen yang adil dalam isu melibatkan kepentingan awam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140501/ma_01/Felda-menang-kes-saman-isu-jual-minyak-ke-Israel#ixzz30PcY00r6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment