Thursday, May 1, 2014

Hudud Brunei bermula hari ini


PELAKSANAAN hukum hudud yang diumumkan Sultan Hassanal Bolkiah (kanan) bakal dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini. - AGENSI
BANDAR SRI BEGAWAN 30 April - Brunei Darussalam bakal melaksanakan hukum hudud bermula esok secara berperingkat-pe­ringkat.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini dalam majlis Deklarasi Perintah Kanun Keseksaan Jenayah Syariah 2013 Fasa Satu di Pusat Konvensyen Antarabangsa, di sini.
“Beta hari ini reda dengan takdir dan bersyukur kepada Allah untuk mengumumkan bahawa esok, Khamis 1 Mei 2014 akan menyaksikan penguatkuasaan undang-undang syariah fasa satu yang akan diikuti fasa-fasa berikutnya," titah baginda di sini.
Menurut Sultan Hassanal, Brunei tidak pernah memandang negatif tindakan pihak-pihak lain untuk memilih pendekatan yang dirasakan sesuai untuk dilaksanakan mereka.
Titahnya, Brunei tidak mengharapkan negara lain bersetuju atau menerima pelaksanaan hukum hudud, namun memadai dengan menghormati keputusan negara ini sebagaimana Brunei menghormati pihak luar.
Perundangan syariah itu bakal diperkenalkan dalam tempoh tiga tahun secara berperingkat-peringkat.
Menurut laporan Brunei Times, dalam fasa satu, hukuman yang diperuntukkan adalah denda dan hukuman penjara.
Fasa kedua pula menyaksikan hukuman potong tangan dan sebatan, sementara rejam sehingga mati bakal dilaksanakan dalam fasa tiga.
Ketika kebanyakan umat Islam di negara yang mempunyai 400,000 penduduk menyokong hukum itu secara berhati-hati, masyarakat bukan Islam pula melahirkan kebimbangan mereka diikuti kritikan-kritikan oleh pengguna Internet menerusi laman-laman sosial pada awal tahun ini.
Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Rupert Colville sebelum ini mengkritik pelaksanaan hukum hudud Brunei yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.
Hampir 70 peratus daripada 400,000 penduduk Brunei merupakan penduduk Melayu Islam dengan 15 peratus lagi adalah etnik Cina. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_04/Hudud-Brunei-bermula-hari-ini#ixzz30PYnbFRc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment