Tentera Thailand tahan bekas menteri
Chaturon Chaisang (tengah) diiringi tentera Thailand selepas mengadakan sidang akhbar di Kelab Wartawan Asing di Bangkok semalam.

Bangkok: Tentera menahan bekas menteri Kabinet Thailand selepas keluar daripada persembunyian semalam untuk mengecam rampasan kuasa tentera minggu lalu dan menggesa dikembalikan semula pemerintahan awam, dalam penampilan pertama di khalayak ramai oleh anggota kerajaan yang disingkirkan. 

Kira-kira enam anggota tentera menahan bekas Menteri Pendidikan, Chaturon Chaisang, dalam satu kekecohan di Kelab Wartawan Asing Thailand, sebaik beliau selesai memberikan sidang akhbar tergempar. Arahan serah diri 


Junta, yang merampas kuasa Khamis lalu, sudah menahan kebanyakan anggota kanan pentadbiran yang dipilih di negara itu dan mengarahkan yang lain menyerah diri. 

Chaturon menggesa diadakan pilihan raya dan memberi amaran tentangan kepada rampasan kuasa tentera akan meningkat, yang membawa kepada bencana kepada negara itu. 

Apabila sidang akhbar selesai dan Chaturon ditemubual oleh sekumpulan wartawan Thai, tentera memasuki bilik, mengepung beliau dan mengiringinya melepasi wartawan. 

Beliau kelihatan tenang dan tersenyum ketika ditahan. 
Sebelum ditolak memasuki lif, Chaturon berkata: “Saya tidak takut. Jika saya takut, saya tidak akan berada di sini.” 

Rampasan kuasa 

Rampasan kuasa tentera, kali kedua dalam masa lapan tahun, menyingkirkan kerajaan dipilih yang menegaskan beberapa bulan lalu sistem demokrasi negara berkenaan diancam penunjuk perasaan, mahkamah dan akhirnya tentera. 

Negara berkenaan berpecah antara kumpulan elit di Bangkok dan di selatan yang tidak akan menang dalam pilihan raya, dan majoriti penduduk miskin di utara yang mula menyedari kuasa politik dan ekonomi. 

“Rampasan kuasa bukan penyelesaian kepada masalah atau konflik dalam masyarakat Thai, tetapi menjadikan keadaan lebih buruk,” katanya. 

Chaturon berkata, beliau cuma memberitahu beberapa orang mengenai penampilannya. 

Beliau berkata, tidak akan menghalang tangkapan atau bersembunyi tetapi disebabkan menentang rampasan kuasa itu, beliau tidak melaporkan kepada golongan yang melakukannya. AP