• Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADLI ZAKIAnwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADLI ZAKI

PUCHONG - Sama ada perlu kekal atau tidak sebagai menteri besar, perkara itu perlu dibincangkan secara menyeluruh dalam Pakatan Rakyat, ujar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata demikian mengulas perkembangan terbaru membabitkan desakan Pas supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan.

"Pandangan dan luahan yang diutarakan terhadap Abdul Khalid mungkin berdasarkan kepada keadaan dan prestasi semasa.

"Kita akan mendengar idea dan cadangan yang diajukan. Kemudian kita akan berbincang dan keputusan akan dibuat selepas perbincangan menyeluruh dilakukan bersama," katanya selepas ceramah Asian Renaissanace di Centre for Reform, Democracy and Social Initiative, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Pas Selangor menolak Abdul Khalid ekoran tindakannya yang sering membelakangkan PR dalam membuat keputusan.

Perkara itu disuarakan Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Jaafar Sulaiman yang menyebut mesyuarat Badan Perhubungan Pas Selangor bersetuju agar Abdul Khalid ditukar kerana dianggap membawa masalah.

Pas Selangor turut menyifatkan barisan pimpinan PR wajar bertemu untuk berbincang bagi mencari pengganti Abdul Khalid.