Tuesday, June 24, 2014

Dilarang guna kalimah Allah



Sebahagian daripada umat Islam melaungkan kalimah Allah sebagai tanda bersyukur Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Gereja Katolik terhadap keputusan KDN melarang penggunaan kalimah itu dalam mingguan The Herald di Putrajaya, semalam. - Bernama
PUTRAJAYA 23 Jun - Gereja Roman Katolik terlepas segala peluang untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang melarangnya menggunakan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu.
Keputusan mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan yang menoktahkan usaha kontroversi pihak gereja berhubung penggunaan kalimah Allah itu ternyata melegakan umat Islam pada saat-saat seluruh negara menyambut ketibaan bulan Ramadan minggu depan.
Ini bermakna The Herald tidak boleh menggunakan kalimah suci itu dalam penerbitan versi bahasa Melayu sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu.
Perkara tersebut dimuktamadkan melalui keputusan majoriti 4-3 panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini ketika menolak permohonan Gereja Roman Katolik bagi mendapat kebenaran merayu.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan majoriti bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.
Sementara itu, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha mencapai keputusan yang bertentangan.
Hakim Arifin membacakan keputusan majoriti itu yang turut dipersetujui oleh tiga lagi hakim selama hampir sejam dalam mahkamah yang penuh sesak.
Beliau menyatakan, Mahkamah Rayuan mengguna pakai ujian kes undang-undang yang betul ketika membenarkan rayuan kerajaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan dalam keputusannya berpuas hati bahawa Menteri Dalam Negeri telah melaksanakan budi bicaranya dengan betul selepas menimbang dengan teliti alasan beliau melarang penggunaan kalimah Allah.
Mahkamah Tinggi ketika itu memutuskan bahawa perintah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penerbitan tersebut daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.
Sehubungan itu, keempat-empat hakim berkenaan sepakat bahawa tidak sesuai bagi mereka untuk campur tangan dalam keputusan Mahkamah Rayuan dengan memberikan kebenaran merayu.
Hakim Arifin selanjutnya menyatakan, mahkamah berpuas hati bahawa jika pun mereka tidak bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Rayuan, ia bukan merupakan alasan yang mencukupi bagi panel itu membenarkan permohonan itu.
Sehubungan itu, mahkamah berpendapat, persoalan mengenai undang-undang pentadbiran gagal melepasi peruntukan yang dinyatakan di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah turut berpuas hati persoalan mengenai undang-undang berperlembagaan yang berhubung kait dengan penggunaan kalimah Allah tidak harus diteliti secara terpencil.
Selain itu, panel tersebut berpendirian, persoalan undang-undang berkaitan isu-isu ketuhanan yang dibangkitkan secara terus oleh Mahkamah Rayuan.
Pada hemat mereka, fakta jelas menunjukkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri tidak dibuat berdasarkan kepada isu ketuhanan dan persoalan yang dibangkitkan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan hanya pandangan mereka semata-mata.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140624/ma_01/Dilarang-guna-kalimah-Allah#ixzz35VMI49lc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment