Friday, June 13, 2014

JAIS diarah pulangkan Bible bahasa Melayu


2014/06/13 - 01:03:01
Shah Alam: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulangkan semula 300 kitab Bible versi bahasa Melayu yang dirampas Januari lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Salehen Mukhyi serta Penasihat Undang-undang Kerajaan Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, diarah membantu proses pemulangan itu.

“Salehen dan JAIS juga sudah diminta untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak yang terbabit terutama Persatuan Bible Malaysia (PBM) bagi menyelesaikan perbezaan pendapat secara baik sekali gus menjaga keharmonian beragama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, pihaknya turut dinasihatkan Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengambil langkah mengikut perundangan dalam mengendali barang kes yang dirampas.

“Kerajaan negeri berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara atas segala nasihat dan juga kepada PBM kerana memberikan kerjasama yang baik ketika siasatan dijalankan,” katanya.

Kelmarin, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani mengumumkan Jabatan Peguam Negara tidak akan membuat sebarang pendakwaan terhadap rampasan Bible yang dilakukan JAIS, awal tahun ini.

No comments:

Post a Comment