Saturday, June 14, 2014

Tentera serah kuasa kerajaan Thailand Ogos ini


Aktivis, Sombat Boonngamanong (tengah) diiringi beberapa anggota tentera dan polis ketika hadir ke perbicaraan di mahkamah tentera di Bangkok, Thailand, kelmarin. - REUTERS
BANGKOK 13 Jun - Ketua kerajaan junta Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha hari ini mengumumkan kerajaan sementara akan dibentuk pada Ogos ini, pengumuman pertama yang menyebut tarikh jelas penyerahan kuasa pentadbiran negara ini mengikut proses demokrasi.
Menurut laman web berita, theguardian.com. Prayuth berkata, pembentukan kerajaan sementara itu merupakan sebahagian daripada tiga fasa rancangan perdamaian.
Beliau berkata, Majlis Kebangsaan Keamanan dan Ketenteraman akan menentukan pelaksanaan penubuhan kerajaan sementara serta proses pilihan raya.
"Kerajaan akan ditubuhkan Ogos ini, atau September," kata beliau kepada pegawai kanan tentera di sini.
Tentera Thailand merampas kuasa pentadbiran negara ini pada 22 Mei lalu selepas tunjuk perasaan ganas berlarutan selama enam bulan melibatkan penyokong dan penentang bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Prayuth mengulangi bahawa, Perlembagaan sementara akan digubal dalam tempoh tiga bulan namun pilihan raya umum hanya dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun.
"Dalam masa tiga bulan, kami akan menguruskannya mengikut prosedur sama ada melibatkan Perlembagaan atau perkara lain. Semua perkara dalam fasa pertama perlu dilengkapkan pada Ogos ini," ujar beliau.
Tentera sejak merampas kuasa, telah menahan kira-kira 300 ahli politik, aktivis dan wartawan, yang kebanyakannya mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.
Semalam, polis mendakwa aktivis, Sombat Boonngamanong cuba mencetuskan huru-hara, melanggar undang-undang siber dan arahan junta dalam kempen atas taliannya yang menggalakkan bantahan dilakukan terhadap rampasan kuasa berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140614/lu_04/Tentera-serah-kuasa-kerajaan-Thailand-Ogos-ini#ixzz34Ylf7F8Z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment