Thursday, June 5, 2014

Tragedi MH370: Kawasan pencarian diperluas


2014/06/05 - 06:04:34
Kuala Lumpur: Kawasan pencarian pesawat MH370 yang hilang, akan diperluas, tetapi kekal di Koridor Selatan, dengan menggunakan apa juga kepakaran yang ada.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, lokasi berakhirnya pesawat itu di Koridor Selatan, tidak pernah diragui dan dipertikaikan kerana disahkan pakar dari seluruh dunia.


“Kalau tidak jumpa kotak hitam, kita kena cari lokasi baharu dan guna apa juga kepakaran yang ada untuk mengenal pasti lokasi berkenaan. Apa yang penting sekarang lokasi itu kekal di Koridor Selatan, itu yang tidak dipertikai dan tidak dinafikan oleh mana-mana pihak.


Disah pakar dunia

“Malah ia telah disahkan oleh pakar seluruh dunia. Persoalannya di mana di Koridor Selatan. Ia besar, tapi di situlah kita akan memasuki fasa baharu,” katanya yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat berkaitan pencarian pesawat MH370 itu di sini, semalam.

Pihak berkuasa Australia sebelum ini memutuskan kawasan seluas 850 kilometer persegi yang menjadi lokasi tumpuan Bluefin-21 bukan lokasi terakhir pesawat itu.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), menyatakan keputusan itu dibuat selepas Bluefin-21 menamatkan operasi pencarian di dalam laut, di lokasi isyarat yang dipercayai dari kotak hitam MH370 sejak awal April lalu.

Diminta mengulas dakwaan seorang pelayar British kononnya ternampak pesawat itu terbakar ketika menyeberangi Lautan Hindi pada pagi ia dilaporkan hilang ketika dia bersama suaminya dalam perjalanan ke Phuket, Thailand, Hishammuddin berkata, ia perlu disahkan dahulu.

Mengenai satu bunyi misteri berfrekuensi rendah bawah laut yang dikesan pada masa sama MH370 dikesan kali terakhir oleh radar satelit, beliau berkata, belum mendapat maklumat lanjut.


Enam syarikat hulur dana


Dalam pada itu, beliau berkata, sekurang-kurangnya enam syarikat tempatan seperti PETRONAS, Boustead dan Deftech sudah menyumbang dana, aset dan perkhidmatan dalam tender terbuka bagi pencarian pesawat itu.

Beliau berkata, satu pasukan yang diketuai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, dan tiga timbalan menteri akan ke Canberra untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan pencarian MH370 termasuk kos.

“Sehingga hari ini tiada kos yang dibiayai Malaysia tetapi tidak adil kepada pihak terbabit seperti Australia dan China yang ingin memberikan sumbangan. Kita perlu mencari jumlah yang berpatutan dan munasabah dibiayai pihak berkenaan,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Hishammuddin berkata, PETRONAS setuju untuk menghantar aset bagi membantu misi pencarian MH370.

Katanya, syarikat itu akan menyediakan dana bagi penunda alat sonar laut dalam, dilengkapi sistem yang menyokong kelengkapan kapal dan kru.

Beliau berkata, sebuah lagi syarikat iaitu Boustead, sedang memuktamadkan terma bagi aset dan perkhidmatan khusus yang akan digerakkan termasuk Kapal Pemantau Oseanografi yang mampu membuat pemetaan dasar laut, alat pengesan sonar bergerak untuk pencarian laut dalam dan kenderaan automatik bagi tujuan pemulihan.

No comments:

Post a Comment