Friday, July 11, 2014

Data telefon bimbit boleh diakses semula


DATA dalam telefon menggunakan sistem pemprosesan Android masih boleh diakses kembali walaupun sebelum ini ia telah dipadam.
LONDON 10 Julai - Satu kajian mendapati data termasuk gambar, mesej teks, e-mel telefon yang menggunakan sistem pemprosesan Android masih boleh diperolehi semula walaupun ia telah dipadam.
Sebuah firma keselamatan internet di Prague, Avast Software mendedahkan perkara itu selepas membeli 20 telefon terpakai di laman web jualan eBay dan berjaya mendapatkan semula data dalam telefon-telefon berkenaan.
Avast yang menggunakan program yang sedia ada di pasaran termasuk program pengimejan, FTK Imager dan program pengurusan aplikasi, SuperSU mendapati mereka boleh mengakses data pemilik asal telefon tersebut yang menggunakan perkhidmatan padam semua data atau ‘factory reset’ yang ada di dalam telefon itu.
Presiden Mudah Alih firma tersebut, Jude McColgan berkata, mereka boleh mendapatkan semula puluhan ribu gambar, emel, mesej teks dan pelbagai perkara lagi daripada telefon tersebut.
"Dalam satu contoh, kami berjaya mendapatkan mesej yang dipadamkan daripada satu perbualan di laman web Facebook dalam sebuah telefon HTC Sensation.
"Kami menemui semula semuanya termasuk borang pinjaman bank yang telah diisi, selain 250 gambar selfie," katanya.
Penemuan tersebut mendedahkan bahawa pelbagai data peribadi boleh diperolehi semula daripada sejumlah kecil telefon terpakai dan mencadangkan pemilik telefon mengambil tindakan lebih berhati-hati jika merancang menjual telefon mereka bagi menghalang data peribadi mereka diakses oleh orang lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140711/lu_15/Data-telefon-bimbit-boleh-diakses-semula#ixzz376n7qP4h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment