Friday, July 11, 2014

Pantau generasi muda sertai jihad


2014/07/10

Putrajaya: Generasi muda negara ini yang mahu bersama kumpulan militan, kononnya untuk ‘berjihad’ di negara Islam bergolak, perlu diyakinkan bahawa keputusan mereka itu bukan langkah terbaik.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata golongan itu perlu diyakinkan bahawa keputusan menyertai perjuangan militan bukan caranya untuk meneruskan pemahaman yang mereka ada mengenai Islam.

“Pergi berperang atau jihad bukan satu penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan peserta Program Felo Perdana (PFP) kepada Menteri-Menteri Kabinet, di sini, semalam.

Ditanya punca yang mungkin menarik minat golongan tertentu menyertai kumpulan terbabit, Khairy berkata, kebanyakan mereka melihat jihad sebagai cara menyumbang kepada Islam.


Memperkasa ekonomi

“Justeru, kita perlu memberitahu mereka bahawa ada pelbagai lagi cara untuk memberi sumbangan kepada Islam, termasuk menerusi pendidikan atau memperkasa ekonomi, yang mana adalah lebih penting.
“Jihad tidak sepatutnya dilihat hanya terbabit dalam keganasan atau peperangan, sebaliknya lebih kepada jihad dalam memperkasa ekonomi, pendidikan dan pembinaan keupayaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan terhadap kegiatan kumpulan tertentu yang cuba merekrut anak muda negara menyertai pergerakan mereka.

“Ini adalah ancaman serius kerana kita sudah melihat beberapa rakyat kita menyertai pergerakan seumpama ini termasuk bersama kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL). Kita sentiasa berwaspada dengan usaha pihak tertentu cuba merekrut anak muda Malaysia menyertai gerakan radikal,” katanya.

No comments:

Post a Comment