Thursday, July 24, 2014

Jokowi ajak rakyat kembali bersatu


Joko Widodo melambaikan tangan kepada penyokongnya dengan menunjukkan tiga jari sebagai lambang tiga daripada lima prinsip 'Perpaduan Indonesia' pada satu perhimpunan di Jakarta, semalam. - AFP
JAKARTA 23 Julai - Beberapa jam selepas diumumkan memenangi Pemilihan Umum Presiden Indonesia (Pilpres) 2014, semalam Joko Widodo (Jokowi) mengajak seluruh rakyat Indonesia kembali bersatu untuk mengukuhkan Indonesia Raya.
Ketika menyampaikan ucapan sulungnya beberapa jam selepas diumum memenangi Pilpres 2014, semalam diiringi bakal Naib Presiden baharu Indonesia, Jusuf Kalla, Jokowi berkata, kemenangan beliau dan Jusuf dalam Pilpres pada 9 Julai lalu merupakan kemenangan bagi seluruh rakyat Indonesia.
Kemenangan rakyat ini, tegas Jokowi, akan membuka jalan yang lebih luas bagi Indonesia menjadi sebuah negara yang lebih berdaulat dari segi politik, berdikari secara ekonomi dan berkeperibadian dalam kebudayaan.
Bekas Gabenor Jakarta itu juga berkata, perbezaan ideologi politik seolah-olah dilihat memisahkan bangsa, sedangkan hakikatnya perbezaan itu hanyalah sebahagian daripada tuntutan dalam amalan demokrasi.
"Inilah saatnya untuk bergerak bersama. Petani kembali ke sawah, nelayan kembali ke laut, pedagang kembali ke pasar, buruh ke kilang, pekerja ke pejabat. Lupakan nombor 1 dan nombor 2. Mari kita bersatu untuk Indonesia Raya. Salam tiga jari, persatuan Indonesia," kata Jokowi semasa berucap di atas kapal Hati Buana Setia sepanjang 30 meter di Pelabuhan Sunda Kelapa, di sini malam tadi.
Ucapan Jokowi itu sarat mengandung mesej yang jelas untuk mengajak semua pihak termasuk pasangan yang kalah Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa pada Pilpres 2014 untuk kembali bergabung tenaga memakmurkan Indonesia.
Beberapa jam sebelum Jokowi dan Jusuf diumumkan sebagai pemenang Pilpres oleh Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU), pasangan Prabowo-Hatta mengejutkan seluruh negara apabila mengumumkan penolakan pelaksanaan Pilpres 2014 yang didakwa mereka penuh dengan penipuan.
Jokowi-Yusuf memperolehi 53.15 peratus undian sementara Prabowo-Hatta mendapat 48.65 peratus undian daripada jumlah undian yang sah sebanyak 133.5 juta di kesemua 33 wilayah di Indonesia.
Jokowi dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Indonesia ketujuh pada 20 Oktober ini menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang tamat tempoh dua penggal pentadbirannya.
Jokowi juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada pesaingnya Prabowo-Hatta yang digambarkan sebagai sahabatnya. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140724/lu_10/Jokowi-ajak-rakyat-kembali-bersatu#ixzz38KnnPLhK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment