Friday, July 4, 2014

Kelantan terus tuntut hak royalti minyak


KOTA BHARU 3 Julai - Kerajaan Pas Kelantan akan meneruskan usaha menuntut hak royalti minyak di negeri ini walaupun gagal mendapatkan dokumen tertentu di bawah milik dan jagaan syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, walaupun tidak berjaya memperoleh dokumen itu, pihaknya optimis rakyat di negeri ini masih mempunyai peluang untuk mendapatkan hak royalti tersebut.
"Kita mahu mendapatkan hak ke atas dokumen itu kerana ia mempunyai kaitan dengan kes royalti ini. Jika memperoleh dokumen terbabit, lebih mudah untuk pihak kita berhujah dalam mahkamah.
"Walaupun permohonan tersebut telah ditolak semalam, kita masih belum putus asa. Itu tidak menjadi masalah, kerana bukan kes ini (tuntutan hak royalti) yang ditolak," katanya di sini hari ini.
Semalam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong memutuskan kes saman kerajaan Pas Kelantan terhadap Petronas berhubung tuntutan tunggakan royalti minyak tidak perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh sebaliknya ditentukan menerusi isu-isu perundangan.
Sehubungan itu, kes saman tersebut akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan melalui prinsip undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah Perintah 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan kerajaan Pas Kelantan membayar kos RM150,000 dan pengurusan kes ditetapkan pada 22 Julai ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140704/ma_02/Kelantan-terus-tuntut-hak-royalti-minyak#ixzz36Rihg5QN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment