Friday, July 4, 2014

Soup Kitchen berdepan tindakan


Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan (NGO) Soup Kitchen bakal berdepan hukuman denda jika masih memberi bantuan makanan kepada golongan gelandangan di kawasan Bukit Bintang bermula Isnin depan.
Tindakan itu selaras hasrat kerajaan bagi membersihkan imej bandar raya daripada jumlah gelandangan yang semakin membimbangkan.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu gelandangan berikutan timbul masalah lain seperti kebersihan dan pembawaan penyakit berjangkit yang dipercayai turut berpunca daripada golongan itu.
“Soup Kitchen kini hanya dibenarkan memberi bantuan makanan sejauh dua kilometer (km) dari lingkungan kawasan Bukit Bintang.
“Jika mereka (Soup Kitchen) mahu beri bantuan, lakukannya di luar kawasan ditetapkan atau kita denda terus,” katanya ketika ditemui di majlis pelantikan Ahli Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam, di sini, semalam.
Tengku Adnan berkata, beliau turut menerima laporan daripada agensi kerajaan yang mendapati terdapat gelandangan di ibu negara yang mampu menginap di hotel tiga bintang dengan wang yang disumbangkan orang ramai.
“Kebanyakan gelandangan mampu bekerja dan memiliki kediaman selesa, tetapi mereka malas bekerja kerana ada pihak tidak putus membantu.
“Bukan kita tak pernah bagi kerja tetap kepada mereka, tapi selepas dua hari mereka lari dan kembali bergelandangan kerana selesa dengan bantuan diberikan,” katanya.
Selain itu, usaha kementerian mewujudkan pusat perlindungan untuk golongan itu didapati menyebabkan mereka rasa selamat seterusnya tidak mahu bekerja lagi.
“Imej bandar raya ini menjadi buruk dan jika tidak diambil tindakan ini, masyarakat menjadi degil dan tidak berdisiplin,” katanya.
Foto
TENGKU Adnan menyerahkan sijil pelantikan kepada Presiden Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia Daozhang Tan Hoe Chieow pada majlis pelantikan Ahli Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

No comments:

Post a Comment