Wednesday, July 30, 2014

MIC kaitkan PAS dengan ustaz 'serbuk kari'

30 Jul 2014
Kira-kira 150 orang berhimpun di Dataran Brickfields pada jam 1 petang hari ini bagi mendesak supaya tindakan diambil terhadap seorang pendakwah bebas dikenali sebagai Shahul Hamid.

Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan yang hadir pada protes itu menuntut PAS menjelaskan sama ada Shahul adalah seorang anggota parti itu selepas beliau didakwa menghina agama Hindu dalam satu ceramahnya di Shah Alam, Februari lalu.

"Jika ia benar, PAS mesti mengambil tindakan terhadapnya," kata Saravanan (kiri) yang mendakwa "diberitahu" akan perkara itu.

Satu klip video ceramah Shahul Hamid memaparkan beliau menyeru umat Islam agar tidak membeli serbuk kari daripada pembekal "Hindu" seperti syarikatAlagappas dan Baba'stersebar secara meluas baru-baru ini.

"Jika anda pergi ke kilang Alagappas terdekat Permatang Pauh, akan ada patung (dewi) di pintu masuk dan lidah keluar.

"Mengapa lidah keluar? Kerana dewi mesti rasa semua serbuk kari sebelum mereka menjualnya," Shahul berkata demikian dalam video tersebut.

Shahul kemudian memuat naik satu rakaman video permohonan maafnya di Facebook dan menjelaskan bahawa kenyataan itu dibuatnya pada satu majlis tertutup.

Beliau juga tidak menyangka videonya itu akan disebar meluas dan menimbulkan kontroversi.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PAS, Mohd Nasaie Ismail sewaktu dihubungi menafikan yang pendakwah berusia 39 tahun itu merupakan anggota kepada sayap tersebut.

Namun, beliau mengenali Shahul kerana tahu bahawa Shahul adalah seorang daripada peserta program realiti bagi mencungkil bakat pendakwah, Mimbar Pencetus Ummah.

“Dalam rekod keahlian Pemuda PAS tiada rekod nama beliau.

"Kita (PAS) tak pernah kenal Ustaz Shahul Hamid, tapi mengetahui beliau menyertai program Pencetus Ummah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sewaktu dihubungi pula menjelaskan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk memeriksa jika nama Shahul terdapat dalam daftar keahlian mereka. Malaysiakini

No comments:

Post a Comment