Wednesday, July 30, 2014

Sukar digambar kata-kata


The Hague: “Kandungan (cebisan mayat) di dalam beg plastik hitam itu amat menyeramkan dan sukar untuk pasukan penyiasat memprosesnya,” kata Ketua Polis Belanda, Gerard Bouman.
Menurutnya, apa yang ditemui di dalam beg hitam mengandungi mayat mangsa pesawat MH17 sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. 
“Anggota badan manusia sudah bercampur dan ada yang sudah berkecai menjadi serpihan yang kecil," katanya kepada agensi media  AFP. 

Dia yang memberi taklimat di Parlimen Belanda semalam berkata, pihaknya masih tidak dapat memastikan bilangan mayat penumpang MH17 yang belum ditemui.
Foto
PENYIASAT beri jaminan semua mayat di lokasi nahas di Donetsk akan dibawa pulang.

“Bukan semua mayat dan harta benda mangsa nahas pesawat MH17 ditemui.

“Saya ingin  memberi jaminan bahawa semua mayat akan dibawa pulang, tetapi saya percaya peluang tidak begitu baik bahawa kita akan mendapat kesemuanya (mayat mangsa),” katanya. 

Menurutnya semua ahli keluarga mangsa pesawat MH17 sudah dimaklumkan berhubung situasi dan kesukaran berkenaan. 

Sementara itu Ketua  Pasukan Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) Malaysia Dr Mohd Shah Mahmud berkata, pihaknya mengambil masa lama untuk merekodkan maklumat cebisan tubuh mayat mangsa nahas pesawat MH17. 

Beliau melalui The Rakyat Post dipetik berkata, tugas pengecaman mayat itu cabaran besar kepada 21 anggota pasukan dari Malaysia. 

“Ia memerlukan ketelitian untuk mengenal pasti identiti mangsa sepanjang tugas dilakukan di kemudahan ketenteraan Belanda, di Hilversum. 

“Dalam satu kes, kami mengambil masa berjam-jam hanya untuk proses memeriksa satu rahang manusia,” jelasnya. 

Beliau yang juga perunding patologi Hospital Kuala Lumpur berkata, terdapat dua kumpulan utama membabitkan 200 anggota kumpulan DVI pelbagai negara termasuk pasukan dari Malaysia selain kumpulan siasatan jenayah yang melakukan tugasan berkenaan. 

Dia berkata, mayat mangsa akan diperiksa kumpulan siasatan jenayah terlebih dahulu untuk mencari bukti seperti serpihan peluru berpandu menggunakan sinaran X-Ray. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/30

No comments:

Post a Comment