Thursday, July 3, 2014

Pensyarah kanan UM diburu


KUALA LUMPUR 2 Julai - Seorang pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM) antara lima individu yang diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan satu kumpulan militan yang dipercayai mahu berperang di negara-negara bergolak.
Individu berkenaan ialah Dr. Mahmud Ahmad, 36, yang merupakan pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Fakulti Akademi Pengajian Islam.
Turut diburu ialah seorang pemilik kedai fotostat di universiti berkenaan, Mohd. Najib Husen, 36, dan seorang kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39.
Dua lagi ialah Mohd. Amin Baco, 31, seorang penganggur dan Jeknal Adil, 30, yang bekerja sebagai buruh kasar. Kedua-dua mereka disyaki menganggotai kumpulan Darul Islam (DI) Sabah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata, Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman telah mengenal pasti lima individu berkenaan berdasarkan siasatan ke atas 19 anggota militan yang ditangkap PDRM sejak 28 April lalu.
"Tiga daripada mereka disyaki sebagai individu yang merekrut dan mengatur pemergian anggota militan dari Malaysia untuk menyertai perjuangan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Syria.
"Dua lagi pula disyaki menganggotai kumpulan DI Sabah yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina," katanya di sini hari ini.
Katanya, kesemua mereka dipercayai sedang bersembunyi di Selatan Filipina.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mereka diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd. Hazil Azhar di talian 03-22667010 atau 011-21046850 atau emel ke ctd.e8m@gmail.com atau mana-mana balai polis berhampiran.
Pada 25 dan 27 Jun lalu, Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman menahan dua lelaki terdiri daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam serbuan di Perak dan Sabah.
Tangkapan itu merupakan susulan daripada penahanan sembilan individu dipercayai terlibat dengan kegiatan militan pada 28 April lalu.
Laporan eksklusif Utusan Malaysia baru-baru ini, mendedahkan seorang pekerja kilang, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, menjadi pengebom berani mati pertama di negara ini selepas terkorban ketika membuat serangan di Ibu Pejabat Skuad Emas Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) di daerah Al-Anbar, Iraq, pada 26 Mei lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140703/je_02/Pensyarah-kanan-UM-diburu#ixzz36M9Pszb4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment