Thursday, July 3, 2014

Prabowo calon Presiden terkaya


JAKARTA 2 Julai - Calon presiden Indonesia yang akan bertanding pada Pemilihan Umum (Pemilu) 2014 pada 9 Julai ini, Prabowo Subianto berada di kedudukan teratas sebagai calon yang paling kaya mengatasi Joko Widodo (Jokowi), Hatta Rajasa dan Jusuf Kalla.
Jumlah kekayaan bekas pemimpin tinggi Tentera Nasional Indonesia (TNI) itu ialah sebanyak AS$148 juta (RM474 juta) seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) semalam.
Kekayaan Prabowo merangkumi pemilikan kepentingan dalam 26 syarikat yang bernilai AS$128.4 juta (RM411 juta), lapan kenderaan bernilai AS$130,000 (RM416,000), empat buah rumah, serta lukisan dan barangan antik yang bernilai AS$290,000 (RM928,000).
Pesaingnya, Jokowi yang pernah mengusahakan perniagaan perabot sebelum menjadi Datuk Bandar Solo dan Gabenor Jakarta pula, memiliki jumlah aset sebanyak AS$2.5 juta (RM8 juta) merangkumi 24 hartanah termasuk rumah, 12 kenderaan serta barangan kemas bernilai AS$35,000 (RM112,000).
Berada di tempat kedua adalah calon naib presiden, Jusuf Kalla dengan kekayaan berjumlah AS$42 juta (RM134.4 juta), kira-kira satu pertiga daripada jumlah kekayaan Prabowo.
Jumlah kekayaan Jusuf ialah berdasarkan pemilikan kepentingan beliau dalam 13 syarikat yang semuanya bernilai AS$28,196 (RM90,382) selain jumlah aset yang dimilikinya bernilai AS$10.25 juta (RM32.8 juta).
Jusuf juga mempunyai empat kenderaan yang bernilai AS$44,188 (RM141,401) serta wang tunai berjumlah AS$589,176 (RM1.89 juta).
Pasangan Prabowo dalam Pemilu 2014, Hatta Rajasa pula mempunyai jumlah kekayaan AS$2.7 juta (RM8.64 juta).
Berdasarkan peraturan Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU), semua calon Presiden dan naib Presiden perlu mendedahkan jumlah kekayaan mereka kepada umum. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140703/lu_05/Prabowo-calon-Presiden-terkaya#ixzz36LtUzEhY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment