Monday, July 28, 2014

Siapa tembak MH17



RUSIA mendedahkan bukti kehadiran jet pejuang Sukhoi 25 milik tentera Ukraine berada berhampiran pesawat MH17 sejurus sebelum pesawat itu ditembak jatuh.
TRAGEDI pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh dengan peluru berpandu di Grabove, timur Ukraine pada 17 Julai lalu mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat tersebut.
Namun, insiden tersebut terus mencetuskan persoalan tentang siapakah pihak sebenar yang bertanggungjawab atas kematian kesemua penumpang serta anak kapal yang tidak bersalah dan tidak terlibat langsung dalam konflik di Ukraine.
Sehingga kini, tidak ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan keji itu, sebaliknya saling menyalahkan antara satu sama lain. Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) percaya perbuatan itu dilakukan oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia yang menguasai timur Ukraine manakala kumpulan pemisah itu dan Rusia menyalahkan Ukraine.
Di sebalik dakwaan bahawa kedua-dua pihak tersalah tembak pesawat MH17 itu, apa yang menjadi tanda-tanya ialah kenapa pesawat MAS itu menjadi sasaran sedangkan kira-kira 300 pesawat penumpang melalui laluan sama pada hari serangan berlaku.
Insiden itu juga berlaku 132 hari selepas tragedi kehilangan secara misteri pesawat MAS MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu.
Adakah secara kebetulan pesawat MAS menjadi mangsa atau kedua-dua tragedi yang menimpa pesawat MH17 dan MH370 ini mempunyai kaitan dan telah menjadi sasaran pihak tertentu untuk melaksanakan agenda tersirat.
Pancawarna minggu ini melihat beberapa teori konspirasi serta kemungkinan menimpa pesawat MH17 yang berlegar di media-media sosial sejurus tragedi menyayat hati itu mengejutkan seluruh dunia.
Salah pemberontak pro-Rusia
TEORI yang paling mendapat tumpuan media antarabangsa ialah serangan tersebut dilakukan oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia dan ada juga yang meminta Rusia bertanggungjawab atas kejadian itu.
Sejurus selepas terjadi insiden tersebut, penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashenko dalam akaun Facebooknya mendakwa, pesawat MAS itu terbang pada ketinggian 10,000 meter dan dipercayai ditembak dengan peluru berpandu yang dilancarkan daripada pelancar Buk buatan Rusia.
Rakaman audio yang dikeluarkan oleh perkhidmatan keselamatan Ukraine (SBU) turut mendedahkan perbualan telefon dipercayai melibatkan anggota kumpulan pemberontak dengan pegawai perisikan tentera Rusia yang mengakui mereka tersalah tembak pesawat penumpang yang disangkakan pesawat tentera.
Ukraine menuduh kumpulan pemberontak pro-Rusia sebagai pihak bertanggungjawab menembak pesawat tersebut kerana mendakwa lebih 10 pesawat termasuk helikopter negara itu ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah berkenaan sejak awal Jun lalu.
Kesemua pesawat itu yang terbang lebih rendah daripada Boeing 777 telah ditembak jatuh sejak pemberontak menggunakan Sistem Pertahanan Udara Mudah Alih (Manpads). Ini termasuk lima buah Mi-24 Hinds, helikopter Mi-8 (dua buah) serta masing-masing sebuah An-2, An-30 dan pesawat pengangkut Ukraine.
Sementara itu, pegawai perisikan AS menganggarkan Rusia memberi lebih daripada satu pelancar roket kepada pemberontak pro-Rusia sejak beberapa minggu lalu. Setiausaha Negara AS, John Kerry mendakwa, sistem pelancar roket yang diguna oleh pemberontak merupakan pemberian Moscow. "Jelas sekali, sistem terbabit telah dipindahkan dari Rusia ke tangan pemberontak," katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang wartawan Associated Press mendakwa melihat pelancar peluru berpandu BUK berada di kawasan dikuasai pemberontak berdekatan dengan lokasi pesawat MH17 ditembak jatuh, beberapa jam sebelum kejadian pada Khamis lalu.
Konspirasi Ukraine dan AMERIKA
KETIKA AS dan Ukraine menuduh Rusia dan kumpulan pemberontak bertanggungjawab atas tragedi itu, Kementerian Pertahanan Rusia mengeluarkan rakaman video menunjukkan kehadiran sebuah jet pejuang Ukraine, Sukhoi 25 (Su-25) dikesan terbang pada jarak antara tiga hingga lima kilometer daripada pesawat MH17 sebelum kejadian tersebut.
Dalam sidang akhbar, seorang ketua pegawai tentera Rusia, Leftenan Jeneral Andrei Kartapolov berkata, Su-25 mempunyai keupayaan untuk memusnahkan target udara pada jarak dekat menggunakan peluru berpandu.
"Jet pejuang itu mampu terbang setinggi 10,000 meter untuk tempoh singkat. Persenjataan Su-25 termasuk misil R60 yang berupaya mengunci dan mengenai sasaran dari 12 kilometer dan pasti mengenai target dari jarak lima kilometer.
"Kami mahu Kiev menjelaskan kenapa jet pejuang terbang pada altitud dan waktu hampir sama dengan pesawat penumpang di laluan dikhaskan untuk pesawat awam," katanya.
Kartapolov juga mendakwa, pesawat MH17 yang pada suatu ketika terkeluar 14 kilometer dari koridor asal cuba untuk kembali ke laluannya tetapi terhempas sebelum sempat menukar haluan.
"Pesawat itu melencong dari laluan mungkin berlaku kerana anak kapal melakukan kesilapan navigasi atau mengikut arahan kawalan trafik udara Ukraine. Ini hanya boleh diketahui menerusi kotak hitam dan alat rakaman komunikasi kawalan trafik udara," ujarnya.
Selain itu, beliau mendakwa, imej daripada satelit Rusia menunjukkan Ukraine menggerakkan pelancar peluru berpandu Buk ke arah kedudukan kumpulan pemberontak pada hari tragedi pesawat MH17 itu berlaku.
Katanya, pada 14 Julai, sistem Buk itu berada lapan kilometer dari barat laut Lugansk dan tiga hari kemudian, ia digerakkan hampir ke kampung Zaroschenskoe, kira-kira 50 kilometer dari Donetsk dan lapan kilometer dari Shakhtersk.
"Kami ada soalan, kenapa senjata ini pergi begitu hampir dengan kawasan yang dikawal oleh pemberontak dan betul-betul sebelum tragedi itu? Pada 18 Julai, kami dapati senjata itu telah dikeluarkan dari kawasan tersebut," ujarnya.
Selain itu, Rusia mengesan peningkatan aktiviti radar Kupol-M1 9s18 oleh Ukraine. Radar itu merupakan sebahagian sistem Buk. Pada 15 Julai, hanya tujuh radar beroperasi tetapi meningkat kepada lapan radar pada 16 Julai dan sembilan radar pada 17 Julai iaitu pada hari pesawat MH17 ditembak jatuh.
Satu lagi pendedahan menarik dibuat oleh Rusia ialah sama ada secara kebetulan atau tidak, satelit AS dikesan melalui tenggara Ukraine pada masa yang sama pesawat MH17 ditembak jatuh.
Kartapolov juga mendakwa gambar yang menunjukkan Buk dipindahkan dari Rusia ke Ukraine adalah palsu. "Gambar itu diambil di bandar Krasnoarmeisk dan ia dibuktikan dengan papan tanda yang kelihatan sebelah jalan berkenaan katanya.
Didalangi Illuminati, CIA
BANYAK juga pihak membuat teori bahawa pertubuhan rahsia, Illuminati memainkan peranan dalam serangan pesawat MH17 bagi mencetuskan Perang Dunia Ketiga, sekali gus mewujudkan Order Dunia Baharu (NWO). Mereka percaya pesawat MH17 dipilih kerana kaitan pesawat itu dengan nombor tujuh.
Apa yang menariknya tentang insiden ini, pesawat MH17 itu merupakan Boeing 777 yang melakukan penerbangan pertamanya pada 17 Julai 1997 dan tragedi tersebut berlaku pada 17 Julai 2014 iaitu pada ulang tahun ke-17 pesawat tersebut. Adakah ia secara kebetulan atau sudah dirancang?
Selain itu, pesawat itu dipercayai ditembak oleh pelancar peluru berpandu Buk yang juga dikenali sebagai SA-17. Selain itu, Julai merupakan bulan ketujuh dalam tahun 2014. Kesemua angka dalam 2014 jika ditambah (2+0+1+4), jumlahnya ialah 17. Bagi pertubuhan-pertubuhan rahsia, nombor tujuh dikaitkan dengan intipati kesempurnaan.
Perancangan Israel untuk mengalihkan tumpuan isu Gaza?
ADAKAH secara kebetulan tragedi yang menimpa pesawat MH17 berlaku ketika Israel menggerakkan tenteranya untuk melakukan serangan melalui darat terhadap Gaza? Persoalan tersebut menyebabkan banyak juga pihak membuat teori bahawa kejadian ini didalangi Israel untuk mengalihkan tumpuan dunia terhadap perbuatan kejam mereka di Gaza.
Memang diakui tragedi MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal pesawat MAS itu telah mengalihkan tumpuan media dan dunia terhadap isu di Gaza yang hangat sebelum itu.
Bagi menguatkan teori ini, beberapa hari sebelum kejadian itu, ada satu komen di dalam sebuah laman blog mendakwa satu false flag atau operasi ketenteraan sulit akan berlaku di Ukraine bagi memberikan imej buruk kepada Rusia, sekali gus mengalihkan tumpuan dunia terhadap pembunuhan besar-besaran penduduk Palestin di Gaza oleh Israel.
Menurut komen tersebut, satu operasi false flag sama ada penggunaan senjata kimia atau yang paling teruk menembak jatuh pesawat penumpang akan berlaku di Ukraine dalam tempoh terdekat bagi mengalihkan tumpuan terhadap isu di Gaza. Ternyata, apa yang dikatakan tersebut menjadi kenyataan.
Sebelum ini, Israel dituduh merancang satu lagi plot seperti 9-11 menggunakan pesawat MH370 yang hilang. Ini kerana Israel dikatakan membeli pesawat terpakai daripada MAS iaitu sebuah Boeing 777 sama seperti pesawat MH370 dan MH17.
Pesawat Boeing itu yang pertama kali melakukan penerbangan pada Julai 1998 diterbangkan ke Israel pada November 2013 dan dilihat berada di sebuah hangar di Tel Aviv. Tindakan Israel membeli pesawat terpakai daripada MAS menimbulkan persoalan apakah motif tersembunyi rejim Zionis itu.
Cubaan membunuh Putin?
Antara teori lain yang popular ialah serangan itu didalangi keluarga Rothschild kerana mahu membunuh Presiden Rusia, Vladimir Putin yang dikatakan menaiki pesawat menggunakan laluan sama semasa pulang dari Brazil sejurus sebelum insiden itu berlaku.
Bagaimanapun, serangan itu tersalah sasaran dan mengenai pesawat MH17 yang disangka pesawat dinaiki Putin kerana laman media sosial juga dipenuhi dengan dakwaan kononnya Presiden AS, Barack Obama mengarahkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) melancarkan serangan tersebut bagi membunuh Putin tetapi tersilap sasaran.
Pesawat MH17 & MH370 pesawat sama?
Ada pihak membuat teori yang paling tidak masuk akal ini apabila mendakwa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine merupakan pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu. Pihak ini juga mendakwa kononnya mayat-mayat penumpang MH370 yang kelihatan di dalam gambar bukan mayat sebenar tetapi pelakon yang disolek.
Mereka juga mempertikaikan kenapa pasport-pasport penumpang MH17 yang ditunjukkan dalam gambar dan video berada dalam keadaan amat baik sedangkan pesawat tersebut musnah terbakar. Menurut mereka, situasi itu sama dengan insiden 9-11 kerana pasport seorang perampas pesawat yang dikatakan melanggar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York ditemui dalam keadaan baik ketika seluruh bangunan musnah dalam kejadian itu.
Ini merupakan teori yang paling tidak logik yang dibuat tentang insiden tersebut kerana tidak mungkin kematian sebegitu besar dalam tragedi MH17 boleh direka-reka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_12/Siapa-tembak-MH17#ixzz38jdPRmoS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment