Wednesday, August 13, 2014

Isu MB: Khalid saman The Malaysian Insider


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menfailkan saman terhadap portal berita The Malaysian Insider berhubung artikel mengenai isu jawatan Menteri Besar Selangor.
Abdul Khalid menfailkan saman itu menerusi Tetuan Bon di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam dan media memperoleh salinan penyataan tuntutan itu hari Selasa.
Peguam New Sin Yew yang mewakili Abdul Khalid memberitahu media hari ini bahawa pihaknya akan menyerahkan salinan saman itu kepada The Malaysian Insider.
Dalam saman itu, Abdul Khalid selaku plaintif menamakan Ketua Pegawai Eksekutif dan penyunting laman sesawang www.the malaysianinsider.com (The Malaysian Insider), Jahabar Sadiq Abdul Kader; Penyunting Bahasa Melayu untuk versi Bahasa Melayu portal itu, Amin Shah Iskandar; pemilik dan pentadbir portal berita itu, The Edge Communications Sdn. Bhd.; dan TMIDOTCOM Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama hingga keempat.
Dalam pernyataan tuntutan, Abdul Khalid mendakwa defendan, pertama (Jahabar) telah menerbitkan kenyataan fitnah dan atau/palsu dalam suatu ulasan penyunting Bahasa Inggeris bertajuk Going by Selangor ruler's criteria, Khalid should quit as MB dalam ruangan Komentar, The Malaysian Insider pada 24 Julai lepas.
Abdul Khalid mendakwa artikel sama turut dikeluarkan oleh defendan kedua (Amin) dalam versi Bahasa Melayu pada tarikh sama dengan tajuk Berasaskan Kriteria Sultan Selangor, Khalid wajar berundur sebagai MB.
Plaintif mendakwa artikel yang diterbitkan dalam dua versi (Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu) itu menunjukkan beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak beretika, seorang yang tidak layak menyandang jawatan Menteri Besar Selangor serta seharusnya berundur dan/atau meletak jawatannya sebagai Menteri Besar kerana tidak memenuhi kriteria Sultan Selangor.
Beliau juga berkata, perkataan-perkataan dalam artikel itu diterbitkan dengan niat jahat.
Selain itu, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mendakwa, The Malaysian Insider juga telah menerbitkan suatu siri ulasan dari 9 Jun hingga 24 Julai lepas yang kononnya mendedahkan salah laku beliau.
Abdul Khalid mendakwa ulasan itu juga membincangkan berkenaan cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor melalui ulasan penyunting bertarikh 15 Julai lepas bertajuk Let Pakatan Rakyat Decide Selangor MB post, not Umno di pautan www.themalaysianinsider.com.
Sehubungan itu, beliau mendakwa defendan-defendan pada setiap masa dan material sedar dan berpengetahuan bahawa perkataan-perkataan yang diterbitkan akan menjejaskan reputasi dan kredibiliti beliau.
Menurut plaintif, defendan telah menerbitkan perkataan itu secara melulu tanpa membuat pengesahan menyeluruh sama ada fakta atau perkara yang dilaporkan adalah benar atau palsu.
Abdul Khalid turut mendakwa defendan telah menerbitkan artikel yang mengandungi perkataan untuk menaikkan kemarahan pembaca The Malaysian Insider dan orang awam agar tekanan dan pendapat awam dapat dijanakan terhadap plaintif untuk berundur sebagai Menteri Besar Selangor.
Akibat daripada penerbitan artikel itu, Abdul Khalid mendakwa reputasinya sebagai Menteri Besar Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang terjejas teruk.
Abdul Khalid mendakwa, beliau turut mengalami penghinaan yang teruk, tekanan dan emosi serta dipandang rendah oleh umum.
Abdul Khalid dalam pernyataan tuntutannya berkata melalui surat bertarikh 25 Julai lepas daripada peguam caranya Tetuan Bon, beliau telah memberi peluang kepada defendan untuk memohon maaf dan menarik balik penerbitan itu namun defendan tidak menerima peluang itu dan artikel itu masih diterbitkan sehingga kini.
Berikutan itu, Abdul Khalid menuntut satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang defendan mengeluar atau menerbitkan artikel fitnah itu dan juga membuat ulasan.
Abdul Khalid turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, perintah untuk defendan mengeluarkan atau menerbitkan satu kenyataan awam dan dipaparkan di laman The Malaysian Insider untuk tempoh dan cara yang sama seperti artikel fitnah itu dipaparkan.
Abdul Khalid juga menuntut defendan menarik balik artikel fitnah itu dan memohon maaf kepadanya atas penulisan dan penerbitan artikel tersebut serta memohon perintah terhadap defendan untuk membatalkan, membuang dan menurunkan daripada laman portal itu berkenaan artikel fitnah yang disiarkan, serta-merta.
Selain itu beliau turut memohon faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140812/ma_09/Isu-MB-Khalid-saman-The-Malaysian-Insider#ixzz3ADnvam2z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment