Wednesday, August 13, 2014

Sultan tak perkenan Wan Azizah menghadap


Shah Alam: Istana Selangor semalam mengesahkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menolak permohonan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon untuk isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memohon perkenan menghadap baginda, kelmarin.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pihak istana menerima surat ditandatangani Anwar pada Ahad lalu bertujuan memberi penerangan dan penjelasan yang sudah diputuskan PKR.


“Surat permohonan itu dipersembahkan kepada Tuanku Sultan pada Isnin (kelmarin) dan baginda menitahkan saya memaklumkan kepada Anwar bahawa baginda tidak berkenan menerima menghadap Wan Azizah yang juga Presiden PKR.



“Baginda tidak berkenan menerima menghadap Wan Azizah berikutan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah pun menghadap baginda berkaitan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya.


Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor berpendapat pemecatan Abdul Khalid daripada ahli PKR adalah isu dalaman parti yang tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan Menteri Besar Selangor.


Katanya, baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalaman PKR.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Munir berkata, keputusan mengekalkan Abdul Khalid sebagai menteri besar adalah keputusan baginda sendiri dan bukannya keputusan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor seperti disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan.


“Mesyuarat itu adalah mesyuarat berjadual yang sudah diperkenankan Sultan Selangor dan tidak membincangkan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

“Abdul Khalid sudah menghadap Sultan Selangor bagi menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR dan beberapa perkara berkaitan kedudukan menteri besar sebelum Mesyuarat Dewan Diraja,” katanya.


Menurutnya, Sultan Selangor sudah memaklumkan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor mengenai keputusan baginda untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

No comments:

Post a Comment