Monday, September 15, 2014

Apple punca leukemia?


BEIJING 14 Sept. - Syarikat elektronik gergasi Amerika Syarikat (AS), Apple Inc. menyiasat kes 13 pekerja kilang pembuatan produknya di China yang didapati menghidap penyakit leukemia dengan lima daripadanya telah meninggal dunia, dipercayai akibat terdedah kepada bahan kimia yang digunakan dalam dua alat elektronik, iPhone dan iPad.
Menurut laporan portal berita, China Topix, insiden melibatkan serangan kanser darah ke atas pekerja kilang terbabit bermula sejak 2010 dan membabitkan pekerja berusia antara 19 hingga 24 tahun walaupun penyakit berkenaan kebiasaannya dihidapi golongan kanak-kanak atau orang tua.
Sebelum ini Apple menjalankan siasatan selama empat bulan ke atas 22 kilang pembuatan produknya di China dan mendapati tiada bukti menunjukkan dua bahan kimia itu mendatangkan kesan bahaya.
Namun, pada bulan lalu syarikat yang beribu pejabat di California itu melarang penggunaan dua bahan berkenaan yang dikhuatiri boleh mengancam kesihatan kira-kira 500,000 pekerja.
Pengarah kanan yang bertanggungjawab berurusan dengan pembekal komponen produk itu, Jacky Haynes berkata, syarikat Apple dan pemilik kilang berkenaan, Foxconn kini bekerjasama untuk menyiasat kes tersebut.
"Sebelum ini memang ada pembekal menggunakan dua bahan kimia itu dalam komponen produk Apple, tetapi kandungan bahan kimia yang digunakan sangat rendah dan mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, pengarah eksekutif pertubuhan bukan kerajaan, Labour Action China, Suki Chung berkata, 13 kes berkenaan yang berlaku di kilang Apple di Shenzen merupakan kes yang berjaya dikesan, tetapi beliau percaya lebih ramai pekerja menghidap penyakit tersebut.
Malah Chung berkata, pekerja yang didapati menghidap penyakit berkenaan dibuang kerja dan tidak diberikan perlindungan perubatan selain membayar sendiri kos rawatan.
"Saya dan keluarga mangsa percaya dua bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan iPhone dan iPad iaitu benzene dan n-hexane sebagai punca pekerja kilang Apple menghidap leukemia," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140915/lu_09/Apple-punca-leukemia#ixzz3DKlZVQFG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment