Monday, September 15, 2014

Kadar sewa khemah untuk jemaah haji dikurangkan


Kerajaan Arab Saudi menurunkan harga sewaan khemah bagi musim haji tahun ini. - AGENSI
MEKAH 14 Sept. - Menteri Haji Arab Saudi, Bandar Hajjar berkata, pihaknya akan mengurangkan kadar sewa khemah di sekitar tanah suci daripada 85 peratus kepada 75 peratus untuk tujuan mengurangkan kos haji pada tahun ini.
Menurut laman web arabnews.com, kementerian itu juga mendedahkan bahawa pihaknya akan mempertimbangkan penilaian semula syarikat haji untuk mengurangkan bilangan cawangan mereka supaya dapat memberikan khidmat terbaik kepada para jemaah.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Haji, Hatem Qadi, mengesahkan sebanyak 20,500 jemaah telah mendaftar untuk program haji kos rendah sebelum tempoh akhir lanjutan selama 48 jam.
Tambah beliau, program haji kos rendah anjuran syarikat-syarikat perkhidmatan haji dan Kementerian Haji membabitkan kira-kira 41,000 jemaah.
Kementerian turut menetapkan harga di kem utama bermula daripada SR5,000 (RM4,260) untuk lokasi yang menjadi perhatian kepada harga terendah sebanyak SR2,500 (RM2,130).
Hatem menjelaskan bahawa kementerian telah memperuntukkan 53 khemah untuk program haji kos rendah yang bakal diagihkan kepada 116 penyedia perkhidmatan haji.
Jemaah yang memohon program haji kos rendah perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan antaranya tidak melaksanakan haji dalam tempoh lima tahun, berusia lebih daripada 15 tahun, wanita perlu bersama mahram dan dihadkan kepada 10 pemohon yang mengunjungi portal elektronik.
Panduan sistem haji elektronik menjelaskan permit haji akan dikeluarkan kepada mereka yang berdaftar sahaja dan permit perlu dicetak serta disahkan dengan pihak berkuasa.
Selain itu, jemaah perlu membawa dokumen perjalanan dan perlu berdaftar untuk pengesahan jadual perjalanan dan memiliki permit untuk melalui pusat pemeriksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140915/lu_05/Kadar-sewa-khemah-untuk-jemaah-haji-dikurangkan#ixzz3DKj4KmRk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment