Monday, September 8, 2014

Gencatan senjata di timur Ukraine dicabul


Dua buah kereta kebal tentera Ukraine menutup laluan menuju ke sempadan Rusia selepas melancarkan tembakan meriam ke arah kedudukan pemberontak pro-Rusia di pinggir pelabuhan Mariupol, semalam. - AFP
DONETSK 7 Sept. - Serangan meriam dan pertempuran dilaporkan meletus dekat sebuah lapangan terbang di timur Ukraine awal hari ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap pencabulan perjanjian gencatan senjata antara kerajaan Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Pergolakan terbaharu itu tercetus hanya beberapa jam selepas Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang berhubung melalui telefon menyatakan pemantauan dijalankan terhadap perjanjian gencatan yang dicapai oleh Kiev dan pemberontak, kelmarin.
Menurut laporan agensi berita Associated Press (AP), beberapa letupan kuat didengari dari kawasan berdekatan lapangan terbang di Donetsk yang dikuasai tentera kerajaan sejak Mei lalu dan sering menghadapi serangan daripada kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Agensi berita Agence France-Presse (AFP) pula melaporkan, beberapa letupan kuat menggegarkan kawasan Mariupol, bandar pelabuhan strategik yang dikuasai tentera kerajaan di Laut Azov di tenggara Ukraine, selain serangan meriam dan pertempuran senjata tercetus di kawasan berkenaan sepanjang malam tadi.
AFP yang memetik kenyataan penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Victoria, 46, berkata, ramai penduduk mula melarikan diri sebaik-baik sahaja pertempuran meletus.
"Saya sangat terkejut. Saya mahu suasana yang aman tetapi perjanjian gencatan senjata mungkin telah tamat dan ini merupakan malam ketika saya tidak boleh tidur lena," katanya.
Mariupol menjadi lokasi pertempuran terbaharu apabila kumpulan pemberontak mara jauh ke kawasan selatan untuk mewujudkan penguasaan di lokasi yang bersempadan dengan Rusia dan semenanjung Crimea yang bergabung dengan Moscow pada Mac lalu.
Kumpulan pemberontak pro-Rusia dan kerajaan Ukraine saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata itu yang dimeterai di ibu negara Belarus, Minsk dua hari lalu. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140908/lu_04/Gencatan-senjata-di-timur-Ukraine-dicabul#ixzz3CfQhVY90
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment